Ikuti Kami:

TLDM Perkukuh Pertahanan Maritim Dengan Pelancaran LMSB2 “Tunku Laksamana Abdul Jalil”

TLDM Perkukuh Pertahanan Maritim Dengan Pelancaran LMSB2 “Tunku Laksamana Abdul Jalil”

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan upacara penamaan dan pelancaran Kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil, Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) yang pertama milik TLDM

 

TÜRKİYE – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus melakar sejarah baharu dalam usaha memperkasakan benteng pertahanan maritim negara dengan pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) yang pertama, dinamakan TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL. Kapal tempur moden ini telah dilancarkan secara rasmi di Istanbul Shipyard, Türkiye.

Upacara bersejarah dan gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. Turut hadir menyaksikan detik bermakna tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Abdul Hadi Omar serta Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.

TLDM Perkukuh Pertahanan Maritim Dengan Pelancaran LMSB2 “Tunku Laksamana Abdul Jalil”

Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

 

Penamaan kapal pertama kelas LMSB2 ini sebagai TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL merupakan satu penghormatan tertinggi buat Almarhum anakanda keempat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong. Almarhum merupakan ahli keluarga Diraja Johor yang pertama dikurniakan gelaran “Laksamana” dalam sejarah moden.

“Penamaan kapal ini dengan nama Jalil membawa makna yang besar kepada keluarga kami – buat saya dan suami selaku ibu bapa, serta anak-anak kami selaku adik beradik Almarhum. Ia satu penghormatan yang amat kami hargai.

“Semoga kapal ini diberkati dan semua yang berlayar di atasnya akan sentiasa selamat dan dalam perlindungan,” titah Raja Zarith Sofiah.

Pemilihan nama ini dilihat tepat bagi mengabadikan semangat juang kental, ketabahan, serta keberanian Almarhum yang sering dikaitkan dengan laungan “Fight Like Jalil”, selain memperingati legasi kebajikan baginda menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Bagi TLDM, gelaran “Laksamana” membawa pengertian yang mendalam kerana ia melambangkan jawatan panglima tertinggi yang memikul amanah untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara. Nama ini diyakini akan menjadi sumber inspirasi serta pembakar semangat buat seluruh kru dan warga TLDM yang bakal bertugas di atas kapal tersebut.

Menyentuh aspek spesifikasi teknikal, Kapal Kelas Tunku ini dibina berasaskan reka bentuk korvet ADA Class oleh syarikat pertahanan Türkiye, STM. Ia merupakan aset tempur terbaharu TLDM yang direka khusus dengan keupayaan untuk melaksanakan operasi pelbagai dimensi.

GALERI

Susulan kejayaan pelancaran ini, kapal berkenaan akan melalui fasa ‘Setting to Work’ (STW) berserta proses integrasi penderia dan sistem peperangan kapal. Perkembangan ini mencerminkan komitmen jitu dan dedikasi Pasukan Projek LMSB2 yang diketuai oleh Kepten Ts. Mohammed Noorsyarizal Mohammed Noordin TLDM, dalam memastikan kelancarannya menepati garis masa dan piawaian tinggi yang telah ditetapkan.

Lebih dari sekadar memperkuat armada tentera, pembinaan kapal LMSB2 ini menjadi cerminan utuhnya kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye, khususnya yang membabitkan pemindahan teknologi antara kedua-dua negara.

Menerusi penambahan aset terbaharu ini, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk terus membangunkan sebuah angkatan pertahanan yang moden serta berdaya saing, sekali gus bersedia untuk mendepani cabaran persekitaran keselamatan maritim global yang kian kompleks.

 

Gambar: FB/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Loading...