Lokal

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

Oleh

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

 KUALA LUMPUR – Bunuh diri atau dibunuh? Persoalan mengenai kematian misteri watak Melissa dalam drama Viu Original, Bayangan Dendam, terus mencetuskan tanda tanya apabila empat sudut perbincangan netizen di TikTok semakin rancak selepas tayangan episod keempat.

Drama thriller romantik yang mula bersiaran pada 22 Oktober lalu itu bukan sahaja menarik perhatian menerusi konflik cinta tiga segi, malah berjaya mengundang pelbagai spekulasi mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kematian Melissa.

Menampilkan Sophia Albarakbah sebagai Melissa, Erysha Emyra (Ariana) dan Nadhir Nasar (Farhan), naskhah 12 episod berkenaan mengangkat kisah persahabatan yang bertukar menjadi permusuhan selepas Ariana menjalin hubungan cinta dengan Farhan, bekas kekasih Melissa.

Bagaimanapun, konflik percintaan itu menjadi semakin rumit apabila Melissa ditemui mati dalam keadaan mencurigakan sehingga menimbulkan persoalan sama ada kematiannya berpunca daripada tindakan sendiri atau jenayah yang dirancang.

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

Teori Berubah, Watak Farhan Jadi Perhatian

Antara yang mencuri perhatian ialah pandangan pencipta kandungan TikTok, @kekdee, yang pada awalnya percaya Melissa mengambil keputusan membunuh diri.

Namun, tanggapan itu berubah selepas menyaksikan episod kedua apabila beberapa petunjuk baharu mula menimbulkan keraguan terhadap andaian asalnya.

Pengulas itu turut menyifatkan Farhan sebagai lelaki ‘red flag’, sekali gus menjadikan karakter berkenaan antara watak yang mengundang perdebatan penonton.

 

Sementara itu, pengguna TikTok, @kubiang, tertarik dengan pendekatan penceritaan drama berkenaan yang menggunakan teknik imbas kembali untuk membuka sedikit demi sedikit persoalan mengenai kejadian sebenar.

Menurut ulasannya, penggunaan penanda masa yang kemas membantu penonton mengikuti perkembangan cerita, manakala kehadiran dua watak polis memberikan keseimbangan antara suasana penyiasatan yang serius dengan elemen humor.

Pendekatan itu turut memberi ruang kepada penonton untuk meneliti petunjuk dan membuat andaian sendiri mengenai misteri yang belum terungkai.

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

Cinta Tiga Segi Cetus Perdebatan

Tidak kurang menarik, @kamarulzaidi_ pula menghidupkan perbincangan mengenai hubungan cinta tiga segi antara Melissa, Ariana dan Farhan.

Persoalan siapa yang lebih sesuai bersama Farhan menjadi bahan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, sekali gus memperlihatkan bagaimana konflik percintaan turut memainkan peranan penting dalam perkembangan misteri kematian Melissa.

Bagi @kotaknyaman pula, tanggapan awal bahawa Bayangan Dendam sekadar sebuah drama cinta klise ternyata meleset apabila jalan ceritanya mula berubah menjadi permainan emosi dan misteri pembunuhan.

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

Malah, ungkapan ‘penyondol kena sondol’ yang dikaitkan dengan konflik percintaan watak utama turut menambahkan lagi kehangatan perbincangan.

Pengulas berkenaan mengakui perkembangan cerita seawal episod ketiga sudah cukup untuk mengubah persepsi awalnya terhadap drama itu.

Empat reaksi berkenaan memperlihatkan bagaimana Bayangan Dendam berjaya menggerakkan perbualan dalam kalangan penonton, bukan hanya mengenai identiti individu yang mungkin terlibat dalam kematian Melissa, tetapi juga motif, hubungan dan konflik yang menyelubungi watak utamanya.

Bagaimanapun, segala spekulasi itu masih menjadi teka-teki selagi kebenaran sebenar belum didedahkan menerusi episod seterusnya.

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

Gandingan Sulung Nadhir, Erysha

Diterbitkan Global Film Station berdasarkan idea asal Viu, Bayangan Dendam diarahkan Helmi Yusof yang sebelum ini pernah mengarahkan Viu Original Abang Imam Minah Skuter dan Ate Kome, I Love You.

Selain tiga pelakon utama, drama itu turut dibintangi Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin, Mia Nasir, Faha Azhar dan Lan Siro.

Menariknya, produksi ini turut mempertemukan buat pertama kali dua duta MILO, Nadhir dan Erysha, dalam sebuah naskhah yang sama.

Gabungan elemen jenayah, percintaan dan misteri menjadikan drama berkenaan bukan sekadar berkisar mengenai hubungan cinta yang retak, tetapi turut mengajak penonton mempertikaikan kejujuran serta motif setiap watak.

Siapa Bunuh Melissa? Empat Teori Netizen Hangatkan ‘Bayangan Dendam’

Dengan semakin banyak petunjuk didedahkan, persoalan paling besar masih belum terjawab: adakah Melissa benar-benar membunuh diri atau ada individu yang sengaja mahu menamatkan riwayatnya?

Bayangan Dendam (Nowhere To Hide) kini ditayangkan secara eksklusif di Viu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Viu turut menawarkan pakej langganan gabungan bersama iQIYI International bermula serendah RM19.90 sebulan.

Buat masa ini, penonton hanya mampu menunggu episod berikutnya untuk mengetahui sama ada teori yang tular di TikTok semakin menghampiri kebenaran atau sekadar mengaburi misteri sebenar kematian Melissa.

, , , , , , ,

Verified by MonsterInsights