PUCHONG – Hieda Natasha Monarchy sedang menganjurkan Hieda Natasha Monarchy 11.11 Preloved Bag Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 11 November 2026 bertempat di Perdana Industrial Park, Puchong. Festival berskala besar ini menyasarkan pengumpulan sebanyak 10,000 beg berjenama preloved sepanjang penganjuran menerusi pelbagai aktiviti menarik seperti pembelian langsung, buy-off, dan konsainan.

Pengasas Hieda Natasha Monarchy, Hieda Natasha, berkata idea penubuhan platform ini bermula daripada pengalaman beliau sebagai seorang personal shopper selama 11 tahun di Eropah dan Amerika Syarikat sebelum mengembangkan perniagaan tersebut ke pasaran tempatan. Beliau melihat keperluan mendesak untuk menyediakan platform yang sah dan teratur bagi membantu pemilik beg mewah tempatan menjual semula beg berjenama mereka dengan mudah.

Menurut beliau, platform ini menyediakan kemudahan kepada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah golongan kerabat diraja yang turut menggunakan perkhidmatan mereka untuk menjual semula atau membaik pulih beg mewah baginda, seperti YAM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang pernah berurusan dengan pihak mereka. Kepercayaan daripada kerabat diraja ini membuktikan kredibiliti platform yang diusahakan oleh Hieda Natasha dalam menguruskan koleksi beg jenama terkemuka seperti Louis Vuitton, Dior, dan Chanel.
Beliau menceritakan bahawa platform ini turut menjadi tempat perlindungan kewangan bagi sesetengah pelanggan yang terdesak untuk mendapatkan wang tunai segera bagi menampung kos perubatan. Terdapat kes di mana pelanggan terpaksa menjual beg mewah mereka kerana perlu melunaskan bil hospital yang tertunggak akibat ahli keluarga yang jatuh sakit.
Justeru, pihak pengurusan sentiasa berusaha mempercepatkan proses pengesahan keaslian (authentication) dan pembayaran agar dapat membantu meringankan beban kewangan pelanggan yang berdepan situasi kecemasan sedemikian.

Bagaimanapun, beliau sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan beg bagi memastikan kualiti barangan terus terpelihara. Beliau menasihatkan orang ramai agar menyimpan beg mewah di tempat yang terbuka dan mempunyai pengudaraan yang baik bagi mengelakkan masalah kerosakan serta kulat akibat penyimpanan di dalam kotak atau beg simpanan kedap udara dalam tempoh yang lama.






Sebagai kemuncak kempen pada 11 November 2026, pihak penganjur menyediakan pelbagai ganjaran istimewa sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan setia. Sebanyak 40 pakej Umrah ditawarkan menerusi cabutan bertuah kepada pembeli bertuah, manakala lima pelanggan daripada kategori buy-off dan konsainan berpeluang memenangi jongkong emas (gold bar).
Tahun ini, pihak penganjur meningkatkan jumlah pemenang berbanding tahun sebelumnya susulan sambutan hangat dan sokongan luar biasa yang diterima daripada pelanggan setia. Pihak pengurusan berharap agar festival ini bukan sahaja merancakkan pasaran beg mewah terpakai di Malaysia, malah terus memberi kebahagiaan kepada lebih ramai pemenang pakej Umrah pada tahun ini.

