KUALA LUMPUR – Di sebalik senyuman dan ketabahan seseorang, tidak semua menyedari ada keletihan, kesedihan serta pengorbanan yang terpaksa dipendam demi membahagiakan insan tersayang.
Realiti kehidupan itu menjadi inspirasi penyanyi meningkat naik, Hazreen Amreena, 29, menerusi single terbaharunya, Teruskanlah, yang membawa mesej tentang kekuatan, pengorbanan dan perjuangan untuk terus melangkah meskipun berdepan pelbagai dugaan.
Bernaung di bawah Shiha Zikir Empire, Hazreen mempertaruhkan karya ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Shiha Zikir itu sebagai single keduanya, hasil kerjasama dengan Sony Music Entertainment Malaysia.

Berbeza daripada lagu pertama yang mengetengahkan kisah percintaan, Hazreen berkata, Teruskanlah mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana penceritaannya cukup dekat dengan pengalaman hidup yang dilaluinya.
“Lagu Teruskanlah memang berbeza penceritaannya. Kalau sebelum ini saya hanya ada lagu cinta, tapi kali ini ia membawa mesej tentang perjuangan dalam hidup.
“Kita semua tahu, kita semua ada perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tapi tetap gagah teruskan kehidupan demi orang yang tersayang,” katanya.
Hazreen berkata demikian sempena majlis pelancaran single berkenaan yang diadakan di Six in the City, pada 3 November lalu.
Menurutnya, lagu berkenaan ditujukan kepada individu yang terpaksa menyembunyikan kesedihan dan kepenatan demi memastikan orang di sekeliling mereka terus bahagia.
Malah, dia berharap karya berkenaan mampu menjadi peneman emosi, khususnya kepada mereka yang sedang bergelut dengan cabaran kehidupan tetapi tidak mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan.

Inspirasi Pengorbanan Anak Sulung
Menariknya, idea penghasilan Teruskanlah tercetus daripada perbualan peribadi antara Hazreen dengan Shiha mengenai kehidupan seorang anak sulung yang memikul tanggungjawab besar terhadap keluarga.
Hazreen mengakui dia sendiri mahu sebuah lagu yang mewakili perasaan individu yang bekerja keras demi orang tersayang, namun sering mengetepikan keperluan emosi sendiri.
Menurutnya, pengalaman itu turut mempunyai persamaan dengan perjalanan seninya yang masih menuntut kesabaran, usaha dan pengorbanan untuk membina nama dalam industri muzik.
Dia mengakui pernah berdepan keinginan untuk berputus asa, namun enggan menjadikan cabaran berkenaan sebagai alasan untuk menghentikan perjuangannya.
“Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan lebih kuat, tidak mudah mengalah dan terus berjuang hingga ke akhirnya,” katanya.
Sementara itu, Shiha menjelaskan, proses penciptaan lagu berkenaan bermula dengan beberapa sesi perbualan bagi memahami pengalaman serta perasaan sebenar Hazreen.
Katanya, pendekatan itu penting supaya setiap bait lirik bukan sekadar mempunyai susunan kata yang indah, sebaliknya benar-benar menggambarkan emosi penyanyinya.
Shiha turut mengambil inspirasi daripada pengakuan Hazreen yang lebih selesa menangis bersendirian di dalam bilik apabila berdepan kesedihan.
Pengalaman peribadi berkenaan kemudiannya diterjemahkan ke dalam penulisan lirik yang menggambarkan seseorang cuba bertahan meskipun kehidupannya seakan-akan sedang runtuh.
Bagaimanapun, Shiha menegaskan mesej lagu itu tidak terhad kepada golongan anak sulung semata-mata, sebaliknya turut mewakili sesiapa sahaja yang menggalas tanggungjawab demi keluarga, ibu bapa dan pasangan.

Shiha Puji Vokal, Disiplin Hazreen
Mengulas kemampuan anak didiknya, Shiha menyifatkan Hazreen sebagai penyanyi yang memiliki kelebihan vokal, khususnya dari segi julat suara yang luas serta kemampuan menguasai nota rendah dan tinggi.
Kelebihan itu memberinya lebih kebebasan untuk menghasilkan komposisi yang bersesuaian dengan karakter vokal Hazreen.
Namun, Shiha tidak berkompromi dalam aspek persediaan apabila memastikan penyanyi itu menjalani sesi latihan secara konsisten sebelum memasuki studio rakaman.
Bukan hanya kemampuan nyanyian, Shiha turut memuji disiplin dan kesungguhan Hazreen yang sentiasa bersedia mencuba pelbagai cabang seni, termasuk penghasilan kandungan media sosial dan lakonan.
Menurut Shiha, dia lebih mementingkan bakat yang benar-benar mempunyai minat, kesungguhan serta kesediaan untuk belajar berbanding mereka yang sekadar mengejar populariti segera.
Baginya, perjalanan membina kerjaya yang perlahan tetapi konsisten lebih bermakna daripada memperoleh perhatian sementara tanpa usaha berterusan.

Muzik Video Sarat Simbolik Kehidupan
Dalam perkembangan sama, muzik video rasmi Teruskanlah turut mengangkat penceritaan emosi menerusi penggunaan beberapa elemen simbolik.
Diarahkan bersama oleh Shiha dan Arul, muzik video itu menampilkan visual lilin yang hampir terpadam sebagai lambang individu yang terus berusaha menjadi sumber kekuatan buat insan tersayang walaupun dirinya sedang diuji.
Elemen air laut pula digunakan bagi menggambarkan gelombang kehidupan yang sentiasa berubah dan cabaran yang perlu ditempuhi seseorang.
Pendekatan visual berkenaan melengkapkan mesej lagu yang mengajak pendengar untuk tidak menyerah kepada keadaan.
Lokasi penggambaran muzik video ditaja PD Holiday Villas Sdn Bhd.
Bagi Hazreen, dia berharap Teruskanlah bukan sahaja mampu membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya seninya, malah menjadi karya yang mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan pendengar.
Dia juga berharap lagu berkenaan dapat digunakan sebagai latar perkongsian kisah kehidupan di media sosial, khususnya pengalaman pahit manis yang mengajar seseorang untuk menjadi lebih tabah.
Teruskanlah mula tersedia di platform penstriman digital pada 3 November 2026, manakala muzik video rasminya turut dilancarkan menerusi YouTube pada tarikh sama.
Lebih daripada sebuah single baharu, Teruskanlah membawa peringatan bahawa tidak mengapa untuk berasa penat atau menangis, asalkan masih mempunyai kekuatan untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.

