Quadruple Bersejarah! JDT Benam Kuching City 2-0, Sah Pertahan Piala Malaysia
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 May 2026 11:05 am
Pemain dan barisan pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan kejayaan selepas menewaskan Kuching City 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus kebal melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.
Skuad Harimau Selatan itu mengesahkan penguasaan quadruple selepas mengenepikan tentangan sengit Kuching City FC dengan keputusan 2-0 pada pentas akhir edisi 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Selepas aksi separuh masa pertama yang mendebarkan berkesudahan tanpa sebarang jaringan , dua gol kemenangan JDT berjaya dijelmakan pada babak kedua menerusi sentuhan berbisa Marcos Guilherme dan kelincahan pemain gantian, Arif Aiman Mohd Hanapi.
Detik kebangkitan JDT akhirnya tercetus apabila mereka memecahkan kebuntuan pada minit ke-81. Guilherme yang menerima hantaran kemas daripada Oscar Arribas bertindak melepaskan rembatan lambung dari dalam kotak penalti yang cemerlang menewaskan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli.
Kemenangan mutlak JDT disahkan pada minit ke-90 hasil ledakan gol kedua oleh Arif Aiman. Pemain bintang itu melepaskan rembatan leret ke arah kiri gawang yang singgah di tiang sebelum bola menerjah jaring. Terdahulu, kemasukan Arif Aiman menggantikan Muhammad Feroz Baharudin pada minit ke-65 telah menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong. Ia merupakan kemunculan semula pertamanya selepas direhatkan selama enam bulan akibat masalah kecederaan.
Walaupun tewas, Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak mempamerkan corak permainan bertahan yang ampuh dan turut memiliki beberapa peluang berbahaya.
Peluang keemasan memihak kepada skuad The Cats apabila mereka dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-61 ekoran kekasaran La’Vere Corbin-Ong terhadap Muhammd Ramadhan Saifullah Usman di dalam kotak penalti. Namun, malang buat pasukan dari Borneo itu apabila rembatan Ramadhan tersasar ke sebelah kiri gawang JDT.
Ramadhan juga sebelum itu gagal menyempurnakan hantaran lintang terhidang daripada Joao Pedro Da Silva Freitas pada minit ke-19 meskipun pintu gol JDT sudah terdedah. Sementara itu, percubaan satu lawan satu daripada Jerome Mpacko Etame pada minit ke-55 sekadar menuju tepat ke dakapan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Di kubu Kuching City, ketangkasan Muhammad Haziq wajar diberi pujian apabila bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya JDT. Ini termasuklah menafikan percubaan jarak dekat Bergson Da Silva seawal minit ke-10 , menyelamatkan dua percubaan berturut-turut Ignacio Mendez di penghujung babak pertama , serta pantas menutup ruang untuk menggagalkan percubaan Oscar Arribas pada minit ke-52. Satu gol Bergson pada minit ke-12 juga telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan berikutan kekasaran.
Kejayaan gemilang ini menyaksikan JDT merangkul gelaran Piala Malaysia yang keenam secara keseluruhannya selepas turut menjuarainya pada edisi 2017, 2019, 2022, 2023, dan 2024-2025. Pencapaian ini meletakkan JDT di kelasnya yang tersendiri sebagai pasukan pertama dalam sejarah yang memenangi trofi berprestij tersebut empat musim berturut-turut.
Sebelum ini, rekod dominasi merangkul piala tersebut sebanyak tiga musim berturut-turut hanya pernah dikongsi oleh Selangor, Singapura, dan Kuala Lumpur.
Perlawanan akhir yang penuh prestij ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan, iaitu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
Gambar: FB/JOHOR Southern Tigers


