Ikuti Kami:

Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik Perdagangan Tani Bersama New Zealand

Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik Perdagangan Tani Bersama New Zealand

KPKM terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Tuan Yang Terutama (TYT) Michael Walsh ke atas Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham bin Ishak (tengah) , fokus kepada perdagangan  pertanian.

 

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memacu agenda rantaian bekalan makanan negara menerusi langkah proaktif memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak New Zealand.

Usaha ini dizahirkan melalui kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Michael Walsh ke atas Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham bin Ishak pada 22 Mei lalu. Pertemuan penting ini merupakan kesinambungan daripada sesi perbincangan peringkat awal yang telah berlangsung pada September 2025 bagi merancakkan lagi aktiviti perdagangan pertanian dua hala.

Menerusi pertemuan tersebut, kedua-dua negara sepakat menyatakan komitmen jitu untuk mempertingkatkan kolaborasi bagi mendepani cabaran global yang meruncing, terutamanya krisis bekalan bahan api serta ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dunia. Bagi merealisasikan matlamat ini, satu jalinan kerjasama strategik melibatkan sumber input kritikal pertanian seperti baja, produk tenusu, dan bijirin dijangka memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak.

Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik Perdagangan Tani Bersama New Zealand

KPKM dan New Zealand kukuhkan kerjasama strategik tangani cabaran rantaian bekalan makanan.

 

Berdasarkan data terkini, profil perdagangan pertanian antara Malaysia dan New Zealand menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dengan nilai dagangan dua hala yang terus kukuh. Sehingga Disember 2025, jumlah keseluruhan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara telah mencecah RM5.57 bilion, mencerminkan hubungan ekonomi yang stabil serta saling melengkapi dalam sektor ini.

Dari segi komposisi perdagangan, Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai pengeksport bahan makanan ternakan ke pasaran New Zealand, sekali gus menyokong keperluan industri pertanian negara tersebut.

Sebaliknya, produk tenusu kekal mendominasi pasaran sebagai komponen eksport terbesar dari New Zealand ke Malaysia, yang mana ia menyumbang sekitar 75 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan dua hala bagi sektor berkenaan.

Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik Perdagangan Tani Bersama New Zealand

Infografik Statistik Perdagangan Pertanian Malaysia – New Zealand (Sehingga Disember 2025)

 

Dalam mendepani era pertanian moden, Malaysia turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap keutuhan sistem kawal selia New Zealand bagi produk-produk pertanian, selain menggalakkan negara itu untuk terus meneroka peluang perkongsian kepakaran bersama.

Sebagai timbal balas, New Zealand bermurah hati menawarkan peluang pembangunan kapasiti menerusi tajaan biasiswa ASEAN-New Zealand Manaaki khusus untuk pegawai-pegawai KPKM. Inisiatif ini dilihat sebagai nilai tambah kepada kerjasama sedia ada yang bernaung di bawah Jawatankuasa Sanitari dan Fitosanitari (SPS) MNZFTA.

Setakat ini, hubungan diplomatik dan perdagangan antara kedua-dua negara terus terpelihara erat menerusi beberapa platform serantau yang aktif, termasuklah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA) serta Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA). Tambahan pula, Malaysia dan New Zealand dijangka meraikan detik bersejarah ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun 2027 kelak.

Mengakhiri pertemuan yang bermakna itu, Datuk Seri Isham telah menzahirkan jemputan rasmi kepada delegasi New Zealand untuk turut serta memeriahkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026. Acara berprestij berskala besar ini dijadualkan berlangsung bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 bertempat di MAEPS, Serdang, dengan mengangkat tema yang relevan dengan arus perdana, iaitu “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Gambar: FB/Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Loading...