Ikuti Kami:

Anggrek ‘Meroket’ Bersama Mimifly, Malam Duka Buat Ratu Di Pentas TTMM

Anggrek ‘Meroket’ Bersama Mimifly, Malam Duka Buat Ratu Di Pentas TTMM

SHAH ALAM – Pentas program realiti Talk To My Manager (TTMM) minggu keenam terus gamat dengan pertembungan epik serta kejutan yang tidak disangka-sangka. Membawa tema “Dua Tiga Kucing Berlari” yang mewajibkan peserta berduet bersama artis tempatan, bintang muda Anggrek berjaya mencipta magis di atas pentas, manakala nasib tidak menyebelahi Ratu dan pengurusnya, Linda Jasmine, apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada semua.

Menyahut cabaran minggu ini, Anggrek di bawah jagaan pengurusnya, Adira, tampil membawakan lagu hit Temberang secara duet bersama penyanyi asal, Mimifly. Pertaruhan berani ini ternyata membuahkan hasil apabila persembahan mereka yang penuh tenaga disifatkan sebagai ‘meroket’ dan cemerlang.

Gabungan vokal mantap serta aura ‘swag’ yang ditampilkan oleh Anggrek dan Mimifly berjaya memukau barisan juri. Keserasian mereka di atas pentas turut meraih pujian melambung dan maklum balas positif daripada juri tetap, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Dato’ AC Mizal, selain juri jemputan istimewa minggu ini, tokoh seni tersohor Puan Sri Tiara Jacquelina.

Anggrek ‘Meroket’ Bersama Mimifly, Malam Duka Buat Ratu Di Pentas TTMM

Kemanisan tidak terhenti disitu buat pasangan Adira -Anggrek ini apabila Adira turut diberikan pengiktirafan Anugerah Inspirasi Kasih ‘Eskayvie’ dan membawa pulang wang tunai RM2 ribu. Sementara itu pasangan Jamilulhayat dan Hussain turut diangkat sebagai ‘Manager Paling Perform’ untuk konsert minggu ini. Sebagai habuan, pasangan manager-artist ini memilih hadiah ‘imuniti’ sekaligus membawa mereka ke pentas konsert TTMM minggu depan.

Konsert minggu ini benar-benar menguji keupayaan sebenar para peserta apabila mereka digandingkan dengan barisan penyanyi berpengalaman tanah air. Setiap persembahan menuntut keserasian, kawalan vokal serta karisma pentas yang tinggi, sekali gus menjadikan malam pertandingan lebih sengit dan berkualiti.

Selain gandingan Anggrek dan Ratu, pentas TTMM turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hebat lain. Ani Maiyuni dan Viviana tampil berduet bersama Syamel menerusi lagu Goodbye Hello, manakala Dato’ Sri Vida dan Cik B pula berjaya menggegarkan pentas bersama legenda rock Dato’ Hattan menerusi lagu loghat Negeri Sembilan, Gadis Jolobu.

Jamilulhayat dan Hussain pula membawakan persembahan penuh emosi menerusi lagu Takdir Tercipta bersama Ara Johari, sementara Dato’ A.Aida dan Azeva berkolaborasi dengan Merrah untuk mempersembahkan lagu ikonik Baldu Biru. Tidak ketinggalan, Pak Azad dan Amarra turut memeriahkan pentas dengan sentuhan dangdut daripada Sheeda menerusi lagu Angkat.

Melengkapkan malam penuh warna itu, Kim Kharri tampil bertenaga dengan gaya ala Saturday Night Fever dalam duet bersama Khai Bahar menerusi lagu Aku Penghibur, sekali gus menambah kemeriahan dan variasi persembahan di pentas TTMM.

Anggrek ‘Meroket’ Bersama Mimifly, Malam Duka Buat Ratu Di Pentas TTMM

Di sebalik sorakan gemuruh untuk Anggrek, pentas TTMM turut diselubungi suasana hiba apabila pengacara mengumumkan penyingkiran Ratu. Gandingan Ratu bersama penyanyi remaja berbakat, Chubb-E, menerusi lagu malar segar Oh! Carol (nyanyian asal Neil Sedaka) nampaknya gagal memberikan impak yang diharapkan.

Walaupun Ratu dan pengurusnya, Linda Jasmine, telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk menampilkan persembahan yang menghiburkan, kutipan markah mereka berada di kedudukan terbawah, sekali gus menamatkan perjuangan mereka di konsert minggu keenam ini.

Dengan penyingkiran Ratu, persaingan kini menjadi semakin sengit dan perjalan para bintang yang masih bertahan pastinya tidak akan mudah. Apakah kejutan yang menanti mereka pada minggu hadapan? Sama-sama kita saksikan!

Loading...