Ikuti Kami:

Tebus Kekecewaan Lalu, WALI Band Bakal Gegar Bukit Jalil Menjelang Mei Ini

Tebus Kekecewaan Lalu, WALI Band Bakal Gegar Bukit Jalil Menjelang Mei Ini

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik popular dari Tangerang, Indonesia, WALI Band membuktikan bahawa insiden lalu tidak mematahkan semangat mereka apabila bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk menjayakan konsert solo terbaharu mereka.

Diberi nama ‘Konsert Wali Kembali’, acara penuh bermakna ini dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Kumpulan yang dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitar), Tomi (dram), dan Ovie (papan kekunci) ini bertekad untuk memberikan persembahan terbaik bagi mengubati duka peminat di Malaysia.

 

Menurut vokalis WALI Band, Faank, mereka amat memahami perasaan kecewa peminat yang tidak dapat menikmati persembahan lagu-lagu hit kumpulan itu secara sepenuhnya sewaktu Konsert RadjaWali yang diadakan pada 10 Januari lalu.

Oleh sebab itu, konsert solo ini diadakan khusus untuk menebus kekecewaan tersebut dengan menjanjikan repertoir yang lebih padat dan menarik demi kepuasan maksimum penonton. Walaupun berdepan persoalan mengenai keputusan mereka untuk terus bekerjasama dengan penganjur yang sama iaitu GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures, Faank menjelaskan bahawa mereka berasa selesa dengan tahap profesionalisme penganjur yang mempunyai rekod prestasi yang baik. Beliau turut menyifatkan isu yang berlaku pada konsert terdahulu sebagai cabaran lumrah dalam penganjuran acara.

“Jujur… kami punya alasan sendiri. Kami selesa bekerjasama dengan mereka kerana mereka sangat profesional serta berpengalaman luas di dalam penganjuran acara konsert. Bahkan, trek rekod mereka sebagai penganjur konsert sebelum ini juga cukup baik,” jelas Faank.

Bagi pihak penganjur pula, wakilnya Mubarak Akhtar Mohd Aris menegaskan bahawa penganjuran konsert kali ini adalah bukti rasa tanggungjawab mereka terhadap insiden sebelum ini.

“Apa yang kami lakukan ini juga suatu bukti bahawa kami benar-benar bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku sebelum ini dan kami juga komited untuk menghadirkan persembahan yang lebih tersusun, lancar dan berkualiti,” ujarMubarak.

Keutamaan kini diletakkan sepenuhnya pada kepuasan penonton berbanding meraih keuntungan, di samping memfokuskan kepada penambahbaikan aspek teknikal seperti sistem bunyi, pencahayaan, dan susunan acara yang lebih mantap. Konsert ini dilihat sebagai satu komitmen kukuh untuk mengembalikan kepercayaan peminat setia WALI Band.

Tebus Kekecewaan Lalu, WALI Band Bakal Gegar Bukit Jalil Menjelang Mei Ini

Bagi peminat yang tidak sabar untuk mendapatkan tiket, jualan telah mula dibuka pada 16 Februari 2026 dengan penawaran lapan kategori harga bermula dari RM77 (CAT7) sehinggalah RM777 untuk tiket VIP.

Menariknya, bagi penonton Konsert RadjaWali yang terkesan sebelum ini, penganjur menawarkan diskaun istimewa sebanyak 20 peratus untuk pembelian tiket konsert solo ini dengan menggunakan kod promo tiket terdahulu secara dalam talian bermula hari ini.

Peminat boleh membuat pembelian melalui laman sesawang www.ilassotickets.com dan mengikuti akaun media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di platform TikTok serta Instagram untuk perkembangan lanjut. Konsert ini turut mendapat sokongan radio rasmi Era FM, Sinar, dan THR Gegar, berserta Astro Gempak sebagai portal rasmi.

Loading...