Fazura & Fatima Bergabung! ‘Raya Pum Pang Lagi’ Cipta Kenangan Manis Syawal 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Feb 2026 10:59 am
KUALA LUMPUR – Kemeriahan bulan Syawal tahun ini nampaknya bakal berseri-seri apabila pelakon, penyanyi, dan usahawan jelita, Fazura, kembali menceriakan suasana dengan buah tangan terbaharu. Menghembuskan nafas baharu kepada lagu perayaan popularnya, single terbaharu yang kini diberi judul “Raya Pum Pang Lagi” tampil lebih istimewa dan cukup peribadi kerana ia menampilkan vokal permata hatinya, Fatima!.
Kolaborasi eksklusif ibu dan anak ini bukan sekadar untuk menghidupkan semula lagu raya kegemaran ramai, tetapi ia menjadi sebuah rakaman memori bermakna yang menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini lebih dekat dengan makna sebenar Syawal. Menariknya, “Raya Pum Pang Lagi” bukan direka sebagai satu perancangan komersial, sebaliknya ia lahir daripada momen-momen kecil secara spontan di rumah.
“Sejujurnya, idea ni datang secara sangat natural. Tahun lepas bila Raya Pum Pang keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali dekat rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri. Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil tu sesuatu yang lebih bermakna?” kongsi Fazura dengan penuh teruja.
Bintang tersohor itu turut menambah bahawa “Raya Pum Pang Lagi” versi terbaharu ini membawa nilai sentimental yang merakamkan kenangan indah mereka berdua sebagai ibu dan anak.
Momen sewaktu merakamkan lagu ini di studio menjadi antara detik paling manis dan tidak dapat dilupakan buat Fazura. Buat pertama kalinya, Fatima berdiri di hadapan mikrofon bukan sekadar untuk bermain-main, sebaliknya menyumbangkan suara sebagai sebahagian daripada sebuah karya rasmi.
Fazura mengakui beliau sangat tersentuh dan emosional melihat keyakinan anaknya yang menyanyi dengan penuh semangat serta rasa bangga.
“Bagi saya, momen tu lebih daripada sekadar rakaman lagu, ia satu kenangan indah antara saya dan anak yang akan saya simpan sampai bila-bila,” ujarnya.
Baru-baru ini, penampilan memukau dua beranak ini di pentas Jakel Fashion Show 2026 telah mencuri tumpuan ramai dan mencetuskan perbualan hangat tentang kemungkinan kolaborasi istimewa ini. Namun, Fazura menegaskan bahawa lagu ini tetap berpaksikan rasa hatinya tentang nilai keluarga dan tradisi, manakala penglibatan jenama yang turut meraikan sambutan perayaan hanyalah sebuah bonus.
Menerusi karya terbitan Universal Music Malaysia dan Fazura Studios ini, Fazura berharap lagu yang membawa mesej kasih sayang ini menyedarkan kita bahawa makna raya bukan semata-mata pada kesempurnaan luaran.

“Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tapi tentang siapa yang ada di sebelah kita masa tu,” pesannya.
Bakal menemui pendengar bermula 20 Februari 2026 di semua platform penstriman digital, lagu hasil sentuhan komposer Mage, Ja’a, Glowrush, dan Nick Ariff ini bukan sahaja berpotensi besar menjadi siulan wajib musim perayaan, malah akan dikenang sebagai lambang cinta agung antara seorang ibu dan anaknya.
