Terkini

Tourism Malaysia, Merchantrade perkasa pembayaran tanpa tunai pelancong menjelang VM2026–2027

Oleh

Tourism Malaysia, Merchantrade perkasa pembayaran tanpa tunai pelancong menjelang VM2026–2027

PUTRAJAYA- Tourism Malaysia hari ini memeterai kerjasama strategik bersama penyedia perkhidmatan e-wang berlesen, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade), bagi melancarkan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia rasmi sebagai persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).

Majlis pelancaran dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran, dengan disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.

Inisiatif ini memperkenalkan kad rekaan eksklusif yang dilengkapi dompet elektronik pelbagai mata wang serta integrasi DuitNow QR bagi memudahkan transaksi tanpa tunai pelancong antarabangsa dan domestik di seluruh negara.

Menurut Mohd Amirul Rizal, perkongsian awam-swasta itu merupakan pemacu utama dalam merangsang pertumbuhan industri pelancongan negara secara mampan.

“Kerjasama dengan Merchantrade membuktikan bagaimana sinergi rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, peniaga tempatan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan negara,” katanya.

Sementara itu, Ramasamy berkata, kemudahan peralihan daripada tunai kepada pembayaran digital memberi keyakinan kepada pelawat asing untuk berbelanja di premis tempatan, sekali gus menghubungkan mereka secara terus dengan peniaga dalam sektor peruncitan, perhotelan, makanan dan tarikan pelancongan.

Pelancong asing boleh mendaftar kad berkenaan sebaik tiba di negara ini menerusi cawangan Merchantrade termasuk di Pavilion KL, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall, Sabah. Promosi turut digerakkan menerusi 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara seperti di London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.

Selain menyokong rangkaian Visa global, Google Wallet dan Samsung Wallet, pemegang kad turut menikmati pelbagai diskaun di rangkaian peniaga rakan kerjasama serta menyokong kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi pengembara tempatan.

Setakat Januari hingga September 2026, Malaysia merekodkan 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Maklumat lanjut boleh didapati di www.merchantrademoney.com/visitmalaysia2027/.

,