Black Hanifah Kembali Menyentuh Hati Menerusi “Hadirmu Ramadhan”
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Feb 2026 11:32 am
KUALA LUMPUR – Ketibaan bulan mulia yang penuh keberkatan, penyanyi bervokal mantap, Black Hanifah, tampil mempertaruhkan sebuah karya terbaharu berjudul “Hadirmu Ramadhan”. Bukan sekadar lagu tema musim perayaan, naskhah ini merupakan sebuah naskhah jujur yang menterjemahkan rasa rindu, kesyukuran, dan pencarian ketenangan jiwa seorang insan.
Menerusi lagu ini, Black atau nama penanya Nyawablack, bertindak sebagai komposer dan penulis lirik bersama. Beliau menyifatkan “Hadirmu Ramadhan” sebagai sebuah karya yang sangat peribadi dan introspektif. Berbeza dengan lagu Ramadan yang lain, naskhah ini lebih menumpukan kepada dialog batin antara hamba dengan Sang Pencipta, mengajak pendengar untuk bermuhasabah dan mencari makna sebenar di sebalik penyucian jiwa.

Inspirasi lagu ini tercetus daripada suasana syahdu malam-malam Ramadan dan pengalaman peribadi Black sendiri yang melihat bagaimana bulan ini mampu melembutkan hati manusia walaupun hanya seketika.
Keistimewaan lagu ini turut diperkukuh dengan penglibatan penyanyi popular, Hazama, yang menyumbangkan buah fikiran sebagai penulis lirik di bawah nama pena, Kadok. Kolaborasi yang tidak dirancang ini bermula apabila Black memperdengarkan demo lagu tersebut kepada Hazama, yang kemudiannya membawa kepada perbincangan santai untuk memantapkan lagi emosi dan melodi agar lebih seimbang serta berjiwa.
Meskipun idea asal lagu ini telah tercetus sejak setahun yang lalu, proses penghasilannya mengambil masa beberapa minggu bagi memastikan mesej yang disampaikan kekal ikhlas dan tidak kedengaran klise.

Secara tersirat, “Hadirmu Ramadhan” membawa mesej mendalam tentang peluang kedua. Ia menggambarkan Ramadan sebagai ‘tetamu’ yang membawa cahaya untuk manusia memperbaiki diri, memaafkan, dan kembali kepada fitrah. Black berharap karya ini dapat menjadi peringatan halus agar rahmat yang hadir tidak disia-siakan begitu sahaja.
Bagi peminat yang ingin merasai kesyahduan karya ini, video muzik rasmi “Hadirmu Ramadhan” boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ bermula hari ini, 20 Februari 2026, jam 3 petang. Manakala, lagu ini boleh mula distrim di semua platform digital kegemaran anda pada 24 Februari 2026.
