Nostalgia Desa di Tengah Kota: Bufet Ramadan WTCKL Tawar Lebih 200 Sajian Warisan
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Feb 2026 1:14 pm
KUALA LUMPUR – Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan yang mulia ini, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) kembali memeriahkan suasana berbuka puasa dengan memperkenalkan Bufet Ramadan 2026 bertemakan “Laman Tradisi”. Membawa gabungan sajian warisan dan suasana kampung tradisional terus ke tengah ibu kota, WTCKL menjanjikan pengalaman iftar yang cukup bermakna bermula 23 Februari hingga 19 Mac 2026 bertempat di Aras 2 Legar.
Diketuai oleh Chef Rusmi, bufet pada tahun ini bakal menambat selera pengunjung dengan tawaran lebih 200 pilihan menu yang akan disajikan melalui lima putaran menu berbeza sepanjang bulan Ramadan.

Pengunjung pasti rambang mata dengan seleksi makanan yang merangkumi 22 pilihan hidangan utama seperti ayam, daging lembu dan kambing, 21 hidangan makanan laut yang enak, 13 jenis ulam-ulaman dan salad tradisional, berserta 28 aneka pencuci mulut dan 11 jenis minuman bagi melengkapkan hidangan.
Bukan itu sahaja, WTCKL turut membawakan kelainan dengan menyajikan makanan kegemaran warga Kuala Lumpur iaitu Nasi Kandar Saddam, di samping Nasi Mandy dan Kunafa hasil daripada kerjasama istimewa bersama Restoran Mandy Al Yemen.

Dekorasi berinspirasikan suasana desa di sekeliling ruang makan bukan sahaja menaikkan seri, malah ia menyuntik elemen kesederhanaan dan nostalgia zaman dahulu kala. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Dato’ Sri Dr Irmohizam bin Ibrahim, pemilihan tema ini amat bertepatan dengan semangat Ramadan yang berakar umbi daripada nilai kekeluargaan dan tradisi.
Beliau menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar mengenai kepelbagaian hidangan, tetapi tentang kebersamaan, kesyukuran dan perkongsian, sekali gus menjadikan konsep Laman Tradisi ini satu tawaran pengalaman iftar di mana tradisi, suasana, dan perisa bersatu.
Bufet ini akan beroperasi setiap hari bermula dari jam 6.00 petang hingga 10.00 malam dengan tawaran harga promosi awal bernilai RM118. Untuk harga standard pula, ia ditetapkan pada RM138 untuk dewasa, manakala bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga dua belas tahun dan warga emas pula bernilai RM85. Terdapat juga Tawaran Kilat serendah RM100 eksklusif buat para pengikut media sosial WTCKL, dan pembelian boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web rasmi riverside.wtckl.com.
Selain pakej jamuan korporat yang bermula dari RM148 bersih untuk minimum 100 orang , pengunjung juga boleh menikmati kadar rata letak kereta bernilai RM6 bagi kemasukan selepas jam 5.00 petang. Demi keselesaan tetamu beribadah, WTCKL turut menyediakan ruang solat khas di Surau Ar-Rahman yang dilengkapi fasiliti untuk menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih secara berjemaah.
Sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), WTCKL meneruskan komitmen proaktif mereka untuk mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan. Tetamu kini digalakkan untuk membawa pulang lebihan makanan iftar dengan tawaran jualan mangkuk tingkat edisi terhad berukuran 16cm pada harga RM79 dan 12cm pada harga RM59. Turut disediakan adalah bekas bento besar berharga RM59 dan bento kecil berharga RM45.
Di samping itu, WTCKL tidak melupakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Infaq Kasih 3.0 yang berkolaborasi dengan rakan utama ikhlas.com, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta rakan-rakan kerjasama lain seperti Creative Seven Legacy, Mamee dan Wipro Unza.
Program murni yang disasarkan pada pertengahan bulan Ramadan di Rumah Sri Kenangan Cheras ini akan diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti Doa Selamat, Tazkirah, Iftar Jama’i, solat Tarawih, dan pengedaran barangan keperluan dengan harapan ia dapat membawa kegembiraan buat golongan warga emas.














