Ikuti Kami:

Rumah Tangga Retak Di Lensa Media Sosial: ‘Kerana Cinta Itu Dusta’ Bakal Gegar Slot Samarinda TV3

Rumah Tangga Retak Di Lensa Media Sosial: ‘Kerana Cinta Itu Dusta’ Bakal Gegar Slot Samarinda TV3

KUALA LUMPUR – Di sebalik senyuman manis dan hantaran gambar yang kelihatan bahagia di media sosial, kadangkala terselindung sebuah pembohongan yang boleh menghancurkan segalanya. Peminat drama tempatan bakal disajikan dengan sebuah lagi naskhah sarat emosi, Kerana Cinta Itu Dusta, yang akan menemui penonton bermula 25 Februari 2026. Drama 30 episod ini bakal menghiasi slot Samarinda di TV3 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam.

Menampilkan barisan pelakon popular seperti Jazmy Juma, Emma Maembong, Azira Shafinaz, dan Nazrief Nazri, drama ini mengangkat realiti pahit dunia pempengaruh hari ini, di mana populariti pantas boleh berubah menjadi racun dalam sesebuah perkahwinan.

Drama ini menjejaki perjalanan pasangan suami isteri, Orked (lakonan Emma Maembong) dan Sufian (lakonan Jazmy Juma), yang pada mulanya bertungkus-lumus membina perniagaan dari rumah sebelum berjaya bergelar pempengaruh terkenal. Kejayaan luar biasa ini banyak didorong oleh kebijaksanaan Orked dalam dunia perniagaan, manakala Sufian sentiasa menjadi penyokong setia di belakang tabir.

Konflik mula tercetus apabila Orked semakin menyerlah, menyebabkan Sufian berasa tenggelam di bawah bayang-bayang isterinya sendiri. Rasa tersisih dan ego lelaki yang tercalar mula mengheret Sufian ke arah pelbagai keputusan buruk yang meretakkan kepercayaan dalam rumah tangga mereka.

Keadaan menjadi lebih tegang dengan kehadiran Seri (lakonan Azira Shafinaz), rakan karib yang pernah diselamatkan oleh Orked daripada cengkaman perkahwinan toksik. Batas perhubungan yang mula kabur serta pelbagai rahsia yang disimpan mula menguji nilai persahabatan dan kesetiaan mereka. Apabila kebenaran mula terbongkar, Orked akhirnya tersepit untuk memilih antara mempertahankan maruah diri atau terus berdiam demi ketenangan yang rapuh.

Rumah Tangga Retak Di Lensa Media Sosial: 'Kerana Cinta Itu Dusta' Bakal Gegar Slot Samarinda TV3

Bercakap mengenai watak yang dibawanya, aktor Jazmy Juma mendedahkan bahawa Sufian bukanlah sekadar seorang lelaki yang ego, tetapi seorang yang sedang bergelut dengan rasa dipinggirkan.

“Cabaran terbesar membawa watak Sufian ini adalah memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke media sosial untuk mencari validasi,” jelas Jazmy.

Beliau menegaskan bahawa dalam realiti hari ini, satu perkongsian di media sosial sahaja sudah cukup untuk memburukkan keadaan apabila emosi mengatasi akal yang rasional.

Adakah mahligai yang dibina atas dasar cinta ini mampu diselamatkan, atau segalanya bakal hancur lebur gara-gara dusta? Jangan lupa saksikan Kerana Cinta Itu Dusta di TV3. Penonton juga boleh mengikuti akaun rasmi @TV3Malaysia dan @dramasangat di media sosial untuk sebarang perkembangan terkini.

Loading...