Program Ubat Melalui Pos Diperluas, 80,000 Pesakit Nikmati Penghantaran Percuma
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Jun 2026 1:43 pm
YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi (kiri) dan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan (kanan) telah hadir melancarkan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di Ibu Pejabat KKM semalam – Gambar: FB/Kementerian Kesihatan Malaysia
PUTRAJAYA – Bermula Julai ini, seramai 80,000 pesakit dijangka menarik nafas lega apabila kos penghantaran di bawah Program Ubat Melalui Pos (UMP) akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
Berita gembira itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, di mana kos pelaksanaan inisiatif tersebut dianggarkan mencecah RM5.69 juta bagi tempoh setahun. Pembiayaan berkenaan akan digalas sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Dalam setahun, anggarannya adalah RM5.69 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kementerian Komunikasi dan pihak MCMC,” ujar beliau.
Fahmi turut menyasarkan agar kemudahan itu dapat mula dinikmati pesakit di setiap negeri menjelang Julai ini, sekali gus menoktahkan beban pesakit yang sebelum ini terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri bagi tujuan penghantaran ubat.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pelaksanaan Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di Ibu Pejabat KKM, semalam.
Mengulas lanjut mengenai mekanisme program berkenaan, Fahmi menjelaskan bahawa senarai pesakit yang layak untuk menikmati perkhidmatan pos percuma ini akan diputuskan sepenuhnya oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Sementara itu, kerja-kerja penghantaran fizikal ubat-ubatan terus ke pintu rumah pesakit akan dikendalikan oleh Pos Malaysia memandangkan syarikat tersebut merupakan agensi pemegang lesen di bawah MCMC.
Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian MoU PERSADA antara MCMC dan KKM yang bertujuan untuk memperkasakan lagi landskap kesihatan digital negara. Hal ini melibatkan penambahbaikan kemudahan kesalinghubungan dan capaian internet di fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Menerusi jalinan kerjasama strategik ini, inisiatif PERSADA bukan sahaja memudahkan proses logistik perubatan, malah turut menjadi tunjang sokongan kepada pelaksanaan rekod perubatan elektronik (EMR) dan program telekesihatan demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang jauh lebih cekap dan berkesan.
