WOOSA Satukan Bunyi Global dan Asia Tenggara Dalam Projek Sulung ANY PEOPLE
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Jun 2026 2:49 pm
PETALING JAYA: Muzik sememangnya bahasa universal yang tidak mengenal sempadan budaya dan geografi. Membuktikan hakikat ini, platform budaya dan duo kreatif bebas yang membawa perspektif Asia Tenggara, ANY PEOPLE, secara rasminya telah memperkenalkan projek sulung mereka.
Membawa aspirasi untuk menyatukan bunyi global dan serantau, kumpulan yang dianggotai oleh kolaborator lama iaitu KCPlays dan Bryan Gounaramo ini bergabung tenaga dengan artis elektronik dan pakar genre AfroHouse dari Sweden, Vidojean, menerusi sebuah single baharu berjudul “WOOSA”.
Bagi menyemarakkan bahang pelancaran karya rentas sempadan ini, ANY PEOPLE bersama Alameyo Records telah menganjurkan majlis pratonton eksklusif yang dinamakan Parti Media Mixer WOOSA bertempat di 1MORE Pizza, Taman Paramount baru-baru ini.
Acara meriah yang menghimpunkan rakan media, barisan DJ, pencipta kandungan, dan rakan industri bagi pendengaran pertama eksklusif itu turut dihangatkan lagi dengan kehadiran artis sensasi Afro-fusion, DEEKiD.

Bercakap mengenai karya yang menyatukan bunyi soul indie, Afro house dan elektronik alternatif itu, lagu “WOOSA” dicipta dengan satu falsafah yang mudah iaitu konsep untuk melepaskan segala beban. Tajuk single ini diinspirasikan secara langsung daripada frasa ikonik yang dipopularkan dalam filem Bad Boys yang sering diulang sebagai mantera untuk kekal bertenang di bawah tekanan.
“Apa yang kami sukai tentang WOOSA ialah betapa mudahnya ideanya. Mesej, tarikan, dan perasaan semuanya berfungsi bersama dengan cara yang terasa semula jadi dan asli,” kongsi wakil ANY PEOPLE, KCPlays dan Bryan Gounaramo.
Bagi Vidojean pula, muzik rentak bertenaga ini direka khusus untuk memberi kebebasan emosi kolektif kepada para pendengar.
“Saat-saat terbaik di lantai tarian adalah apabila semua orang melupakan segala-galanya selama beberapa minit. Itulah WOOSA,” ulas DJ Sweden yang pernah mendapat sokongan tokoh industri besar seperti Diplo dan Black Coffee itu.

Turut terpesona dengan daya penarik karya ini, penyanyi kelahiran Nigeria yang kini mekar di Malaysia, DEEKiD, menyifatkan naskhah tersebut mempunyai aura penularan yang kuat.
“Ia adalah salah satu rekod yang membuatkan orang ramai tersenyum sebelum mereka sedar bahawa mereka menyanyi bersama,” tambah DEEKiD.
Sebagai keluaran babak pertama untuk Alameyo Records, “WOOSA” menjadi bukti keupayaan ANY PEOPLE dalam menterjemahkan budaya yang dihayati serta memperjuangkan kreativiti Asia Tenggara sambil membina jambatan kukuh dengan komuniti antarabangsa.
Peminat muzik sudah boleh mula menikmati “WOOSA” memandangkan lagu ini telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran seluruh dunia bermula 12 Jun 2026 di platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan Deezer.
