Ikuti Kami:

Kemelut Royalti 25 Tahun & Ancaman AI Bakal Cetus ‘Debat Panas’ Di Konvensyen Penggiat Muzik

Kemelut Royalti 25 Tahun & Ancaman AI Bakal Cetus ‘Debat Panas’ Di Konvensyen Penggiat Muzik

Foto: Dari Kiri Hj Rozman Abas, Datuk Freddie Fernandez, Dr Moja hadir ke sidang media mengenai Konvensyen Penggiat Muzik di Saloma Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Isu tuntutan royalti yang berlarutan sejak 25 tahun lalu serta ancaman teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dijangka akan mendominasi perbincangan dalam Konvensyen Penggiat Muzik yang bakal berlangsung pada 21 Jun ini. Program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu akan diadakan di Restoran Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dengan jangkaan kehadiran melebihi 200 penggiat seni termasuk artis, pemuzik, dan komposer.


Foto: Datuk Freddie Fernandez berucap pada sidang media Konvensyen Penggiat Muzik

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, konvensyen ini dianjurkan bagi menyediakan platform terbuka untuk para penggiat muzik menyuarakan pandangan, sekali gus mendapatkan penjelasan berhubung pelbagai kemelut yang mengelirukan serta kabur dalam industri muzik tanah air.

Salah satu topik paling hangat yang bakal diketengahkan ialah jurang ketara dalam pembahagian royalti artis. Isu ini disifatkan sebagai “duri dalam daging” sejak Akta Hakcipta dipinda pada tahun 2000.

Pada tahun 2001, satu janji telah dibuat untuk berkongsi hasil kutipan royalti antara syarikat rakaman dan badan artis menggunakan nisbah sama rata 50-50 atau sekurang-kurangnya 30-70. Langkah ini pada asalnya bertujuan memaksimumkan kutipan dan meminimumkan kos operasi pengurusan. Bagaimanapun, realiti yang berlaku sepanjang tempoh tersebut amat mengecewakan golongan artis.

Berdasarkan maklumat yang dibentangkan oleh Freddie Fernandez, jumlah keseluruhan kutipan royalti yang berjaya dikumpulkan oleh syarikat rakaman (PPM) dari tahun 2002 hingga 2017 mencecah RM696,530,081. Daripada jumlah mega tersebut, badan yang mewakili artis (PRISM/RPM) hanya menerima agihan sebanyak RM20,441,173.50, iaitu sekadar 2.85% (atau purata sekitar 2.9%) daripada keseluruhan kutipan. Manakala baki selebihnya, iaitu 97.15% (RM676,088,907.50), kekal berada di tangan pihak syarikat rakaman.

“Kami akan mendedahkan tindakan pihak tertentu yang cuba menafikan hak penggiat muzik dalam soal royalti,” tegas Datuk Freddie Fernandez. “Walaupun dijanjikan pembahagian yang adil, semakan kami membuktikan jurang kutipan yang amat besar. Ramai artis kini berputus asa dan tidak mahu lagi memikirkan soal royalti disebabkan ketidakadilan ini.”

Selain royalti klasik, kehadiran teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam penciptaan muzik turut mencetuskan polemik baharu. Karyawan menyifatkan situasi semasa industri sebagai sesuatu yang “ironik”.

Sebelum ini, kerajaan telah menubuhkan badan tunggal Music Rights Malaysia (MRM) pada tahun 2017 bagi memastikan pembahagian royalti sama rata 50-50, namun ia dibubarkan pada tahun 2018 berikutan perubahan landskap politik negara. Apabila kerajaan mengeluarkan garis panduan baharu pada tahun 2025 untuk memulihkan keadaan, tiga badan pengutip royalti sedia ada bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan, menyebabkan pelaksanaan garis panduan tersebut ditangguhkan.

Bagaimanapun, tiga badan tersebut baru-baru ini dilaporkan bergabung menubuhkan sebuah entiti baharu dinamakan Music Rights Alliance bagi meminta bantuan kerajaan menggubal undang-undang mengekang penyalahgunaan AI dalam muzik.

Apa yang mengejutkan, dua daripada badan yang menentang garis panduan perlindungan artis oleh kerajaan itu diterajui oleh ikon muzik tanah air, Dato’ Dr. Hj M. Nasir dan Dato’ Sheila Majid. Karyawan berpandangan adalah sangat ironik apabila pihak yang menyaman kerajaan kini tampil memohon pertolongan daripada pihak kerajaan. Sebagai tokoh seni, mereka sepatutnya menyokong penuh garis panduan kerajaan yang sememangnya digubal demi melindungi hak serta masa depan artis tempatan.

Bagi memastikan konvensyen ini bersifat komprehensif, beberapa panel pakar telah dikenal pasti bagi mengupas topik-topik kritikal lain yang dekat dengan penggiat seni muda, antaranya mengenai Geran dan Penganjuran Konsert dimana ia membincangkan akses dana kerajaan/swasta serta cabaran menganjurkan konsert di Malaysia, menampilkan Nadzmi Musa (MYCV), Para Rajagopal (Live Nation), dan Aqmal (Penganjur Konsert Indie).

Topik kedua mengenai Media Sosial & Pemasaran Digital akan dibincangkan mengenai strategi pemasaran digital alaf baharu bersama Joe Lee (Aktivis Muzik), Prashan Chitty, dan Melvin Wong.

Topik ketiga mengenai Pendidikan Muzik dan ia menyentuh pemerkasaan ekosistem pendidikan negara yang dikendalikan oleh Prof. Ramona Tahir (MAME), Wan Haris (Kementerian Pendidikan), dan Prof. Tazul (UiTM).

Konvensyen ini diharapkan menjadi titik tolak kepada perubahan struktur industri. Segala usul dan idea kreatif yang dibincangkan akan dirumuskan menjadi satu memorandum resolusi komprehensif untuk diserahkan terus kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Salinan memorandum juga akan diedarkan kepada kementerian-kementerian berkaitan.

“Peluang kerjaya dalam industri muzik tidak lagi semudah dahulu. Ramai anak seni yang terpaksa menjadi pemuzik jalanan (busker) demi menyara hidup. Kami yakin Perdana Menteri amat prihatin terhadap nasib artis tempatan. Dengan sokongan beliau, resolusi ini mampu menjamin masa depan yang lebih cerah dan adil buat semua penggiat muzik tanah air,” tambah Freddie.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan Restoran Saloma Kuala Lumpur yang sentiasa menjadi rakan setia dalam menjaga kebajikan artis dengan menaja lokasi serta penyediaan makanan bagi menjayakan konvensyen bersejarah ini.

Penggiat seni yang ingin mengesahkan kehadiran boleh membuat pendaftaran menerusi aplikasi WhatsApp di talian 03-40317666 atau mengimbas kod QR di laman web rasmi www.karyawan.my.

Loading...