BAHANG EL NINO: Agensi Kerajaan Buka ‘Bilik Gerakan’, Depani Cuaca Ekstrem
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Jun 2026 11:08 am
PUTRAJAYA: Malaysia kini dalam fasa bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi ancaman fenomena El Nino berintensiti kuat yang diramal melanda dan berterusan sehingga awal tahun 2027.
Berdasarkan tinjauan cuaca Jabatan Maeteorologi Malaysia (MET Malaysia), negara telah mula memasuki fasa Monsun Barat Daya sejak 14 Mei 2026 yang lalu. Keadaan ini bakal membawa kepada taburan hujan yang berkurangan, sekali gus menjadikan cuaca jauh lebih panas dan kering berbanding biasa.
Cuaca ekstrem ini dijangka membawa impak besar termasuklah penyusutan ketara paras air empangan, menjejaskan pengeluaran sektor pertanian, serta meningkatkan risiko insiden pembakaran terbuka dan jerebu yang memudaratkan kesihatan awam.
Susulan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bilangan 1 Tahun 2026 telah bersidang pada 15 Jun 2026 di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi merangka pelan tindakan kesiapsiagaan negara.
Mesyuarat penting ini melibatkan koordinasi pelbagai pihak termasuk NRES, MET Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bagi mengekang ancaman ini daripada terus berleluasa, beberapa langkah strategik telah dipersetujui oleh semua pihak terlibat. Antaranya, kementerian, jabatan, agensi serta kerajaan negeri diarahkan untuk melaksanakan mesyuarat koordinasi sebagai persediaan awal yang lebih berkesan dan tersusun.
Langkah ini penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah selaras, cepat dan efektif dalam menghadapi risiko cuaca panas serta kebakaran terbuka.
Selain itu, usaha pemantauan dan langkah pencegahan secara berterusan turut perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang yang boleh mencetuskan jerebu. Pendekatan ini termasuk pengawasan lebih ketat di kawasan berisiko tinggi serta tindakan segera terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

JBPM, NADMA, MET Malaysia dan TUDM bersiap siaga hadapi impak fenomena El Nino semasa Monsun Barat Daya. – Ilustrasi Janaan AI
Dalam masa yang sama, kesiapsiagaan dari segi infrastruktur di kawasan tanah gambut, jentera serta tenaga kerja akan dipastikan berada pada tahap optimum. Ini bertujuan supaya sebarang insiden kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan dengan pantas sebelum ia merebak dan seterusnya menyebabkan berlakunya jerebu tempatan yang menjejaskan kesihatan awam serta kualiti udara negara.
Dari segi kelengkapan operasi, JBPM kini bersiap sedia untuk menggerakkan pasukan dan logistik pada bila-bila masa. Pada masa yang sama, pihak NADMA, MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa berwaspada untuk melancarkan Operasi Pembenihan Awan di kawasan-kawasan terjejas, tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera semasa.
Isu jerebu ini turut diberi perhatian serius di peringkat serantau apabila Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dijadualkan mengetuai delegasi negara ke Bali, Indonesia pada 8 dan 9 Julai 2026.
Di sana, Malaysia akan menghadiri Mesyuarat Ke-27 Ministerial Steering Committee (MSC) dan Technical Working Group (TWG) bagi membentangkan inisiatif pencegahan kebakaran serta mengusulkan cadangan penambahbaikan kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
NRES turut memberikan amaran keras kepada semua individu dan pemilik tanah agar sama sekali tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan premis mereka diceroboh untuk tujuan tersebut ketika cuaca kering ini.
Tindakan undang-undang yang amat tegas menanti mereka yang ingkar. Pesalah yang disabitkan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM1 juta, penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali. Malah, kompaun maksimum sehingga RM500,000 turut boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
Orang ramai diseru agar sentiasa peka dengan amaran cuaca melalui portal dan aplikasi myCuaca kelolaan MET Malaysia, selain memantau bacaan kualiti udara menerusi laman web APIMS JAS dan aplikasi MyJAS EQMP.
