Ikuti Kami:

Opick, Rabbani, UNIC Bersatu Dalam Konsert Malam Qolbu Di Idealive KL

Opick, Rabbani, UNIC Bersatu Dalam Konsert Malam Qolbu Di Idealive KL

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyemarakkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi pendekatan seni kreatif, sebuah konsert kerohanian berskala besar, Konsert Malam Qolbu, dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos 2026 bertempat di Idealive Kuala Lumpur.

Dianjurkan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul, acara ini bakal menghimpunkan para peminat dalam satu malam yang sarat dengan mesej dakwah, alunan muzik penuh makna, serta ruang untuk refleksi diri.

Konsert Malam Qolbu merupakan langkah berani serta kemunculan sulung buat agensi perkhidmatan umrah dan riadah, Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd, selaku penganjur utama. Penganjuran ini direalisasikan menerusi kolaborasi strategik bersama Aftermusic Project dan Laskar Entertainment.

Bagi memastikan impak maksimum yang menyentuh jiwa penonton, konsert ini bakal mengangkat konsep ‘Islamik Nusantara Musik’. Pentas utama bakal digegarkan dengan gabungan mantap barisan ikon nasyid dan selebriti tersohor merentasi rumpun Nusantara iaitu Opick, Mawi, Rabbani, UNIC, serta The Rayhan.

Opick, Rabbani, UNIC Bersatu Dalam Konsert Malam Qolbu Di Idealive KL

Konsert Malam Qolbu bukan sekadar sebuah persembahan nyanyian biasa, sebaliknya disusun dengan penuh teliti bagi menghadirkan pengalaman yang menyentuh jiwa melalui penceritaan yang mendalam. Setiap segmen dirangka untuk membawa penonton menyelami perjalanan spiritual yang penuh makna, sekali gus menghidupkan nilai-nilai kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam suasana yang lebih dekat dan berkesan.

Persembahan akan dimulakan dengan Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, yang berfungsi sebagai pengenalan kepada kisah agung kehidupan Rasulullah SAW. Segmen ini dijangka membuka tirai malam dengan penuh simbolik, menggabungkan elemen visual dan naratif yang mampu membangkitkan kesedaran serta rasa kagum terhadap perjuangan Baginda dalam menyebarkan Islam.

Opick, Rabbani, UNIC Bersatu Dalam Konsert Malam Qolbu Di Idealive KL

Seterusnya, penonton akan dibawa ke dalam dimensi seni yang lebih mendalam menerusi Segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry. Gabungan elemen lakonan tanpa dialog dan puisi visual ini bukan sahaja menambah kepelbagaian dalam persembahan, malah memberi ruang kepada penonton untuk menghayati mesej secara lebih halus dan emosional, sekaligus memperkukuhkan penghayatan terhadap tema kerohanian yang dibawakan.

Sebagai penutup, konsert ini akan disempurnakan dengan alunan Selawat Nabi, yang dijangka menjadi kemuncak malam penuh keberkatan tersebut. Segmen ini bakal menyatukan seluruh hadirin dalam suasana ukhuwah yang erat, diiringi lafaz selawat yang mendamaikan jiwa, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada setiap yang hadir.

Opick, Rabbani, UNIC Bersatu Dalam Konsert Malam Qolbu Di Idealive KL

Menurut wakil penganjur, acara ini dilihat sebagai satu amanah besar dalam mendidik masyarakat. “Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat. Setiap selawat, doa, ilmu, dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan,” kongsi beliau yang turut berharap agar program berteraskan dakwah sebegini mendapat tempat yang tinggi dalam kalangan generasi muda, menyamai fenomena konsert kerohanian di negara jiran, Indonesia.

Bagi memberikan pengisian yang lebih dekat dengan penonton, Duyufurrahman turut memperkuatkan barisan pengurusannya dengan tenaga muda berpengalaman, termasuk juara Mualim Muda Musim Pertama, Mualim Muda Anas, serta finalisnya, Mualim Muda Ashraf, yang membawa jiwa pendakwah dalam setiap pendekatan syarikat.

Bagi orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, urusan penjualan tiket kini telah pun dibuka secara rasmi melalui laman web Ticketmelon dan Fantopia. Tiket ditawarkan pada harga bermula dari RM250 sehingga RM350. Berita baik buat golongan belia, pihak penganjur turut menyediakan harga tiket khas untuk pelajar bagi memastikan mesej kerohanian ini dapat dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Loading...