Ikuti Kami:

Demi Kepuasan Maksimum Peminat, Ella Pilih Setia SPICE Arena Jadi Saksi Konsert ‘Homecoming’

Demi Kepuasan Maksimum Peminat, Ella Pilih Setia SPICE Arena Jadi Saksi Konsert ‘Homecoming’

KUALA LUMPUR – Pihak penganjur Hitman Solutions bersama syarikat pengurusan Rockqueen hari ini secara rasmi mengumumkan perubahan tarikh dan lokasi bagi konsert mega “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru”.

Konsert kepulangan istimewa Ratu Rock negara ke negeri kelahirannya itu kini dijadualkan berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026.

Menurut pihak penganjur, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh bersama pasukan produksi dan artis demi memberikan pengalaman konsert yang lebih optimum, selesa, dan bermakna buat para peminat.

Demi Kepuasan Maksimum Peminat, Ella Pilih Setia SPICE Arena Jadi Saksi Konsert Homecoming

Pelan tempat duduk konsert mega “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru” di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang

 

Langkah memindahkan acara ke lokasi tertutup (indoor) juga dilihat bagi mengelakkan sebarang risiko gangguan cuaca yang tidak menentu, selain memastikan sistem akustik yang lebih terkawal dan suasana persembahan yang lebih imersif serta dekat dengan pentas.

Pemilihan Setia SPICE Arena bukan sekadar bersandarkan faktor keselesaan, malah venue ikonik ini mempunyai nilai sentimental yang cukup tinggi dalam portfolio seni Ella. Sebelum ini, lokasi yang sama pernah menjadi saksi kegemilangan konsert “Jilid Akhir: Ella Puteri Kota” yang berjaya mengumpulkan lebih 14,000 peminat setia.

Penambahbaikan ini juga dilakukan setelah mengambil kira maklum balas dan permintaan ramai peminat yang mahukan aura serta kemeriahan serupa diulang sekali lagi. Walaupun penganjur pada asalnya berhasrat mengekalkan tarikh asal pada 25 Julai, faktor ketersediaan venue menjadikan 22 Ogos sebagai tarikh terbaik bagi memenuhi piawaian pengeluaran produksi yang tinggi.

Demi Kepuasan Maksimum Peminat, Ella Pilih Setia SPICE Arena Jadi Saksi Konsert Homecoming

Ella

 

Mengulas mengenai penukaran ini, Ella menyatakan keterujaannya. “Keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa. ‘Homecoming’ insya-Allah akan tetap berlangsung, saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kongsi Ella.

Bagi mengelakkan kegusaran peminat, penganjur mengesahkan harga tiket adalah kekal. Pemegang tiket sedia ada tidak perlu bimbang kerana tiket mereka akan dipindahkan secara automatik ke zon tempat duduk yang setara tanpa sebarang kos tambahan.

Menambah kehangatan konsert, dua nama besar dan lagenda industri muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain, disahkan bakal tampil sebagai artis jemputan istimewa. Bagi menghidupkan suasana malam konsert yang bertemakan “90’s Glam Rock: Battle of The Bands”, peminat digalakkan hadir mengenakan gaya vintaj rock seperti jaket denim, jaket kulit, serta but.

Sambil berhibur, konsert ini turut menyebarkan impak positif menerusi kemudahan amal Peace, Love & Rindu. Sebanyak RM2 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan terus kepada organisasi kebajikan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses penempatan semula tempat duduk dan pembelian tiket terbaharu, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Loading...