Setahun Cipta Fenomena, ALPHA Hadiahkan Peminat Album Sulung ‘The First Wave’
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 Jun 2026 8:49 pm
KUALA LUMPUR: Genap setahun mewarnai industri M-Pop tempatan, kumpulan sensasi ALPHA meraikan ulang tahun pertama mereka dengan sebuah bingkisan istimewa buat para peminat menerusi pelancaran album studio sulung yang dinanti-nantikan, The First Wave.
Majlis pelancaran gilang-gemilang anjuran Rocketfuel Entertainment ini dijadualkan berlangsung semalam bertempat di Pavilion Damansara Heights. Bermula dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam, acara ini bukan sekadar platform memperkenalkan album kepada umum, tetapi juga medan bagi kumpulan ini menghargai sokongan tidak berbelah bahagi para peminat sejak hari pertama.
Album The First Wave memuatkan 12 buah lagu yang memperlihatkan kematangan, evolusi, dan kepelbagaian genre yang diketengahkan oleh tujuh anak muda berbakat ini iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D, dan Sky.

Antara judul yang bakal memikat halwa telinga pendengar termasuklah Mona Lisa (Bang Bang), P. Ramlee Saloma, Bujang, Tiada Pengganti, dan single hit terkini mereka, Gelato. Turut dimuatkan adalah karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire, dan Dia feat. AG Coco.
Namun, apa yang paling mencuri tumpuan pastinya naskhah berjudul Burn It Down. Lagu ini dirakamkan secara istimewa di Korea Selatan sewaktu kumpulan itu menjalani latihan intensif menerusi program ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter yang bersiaran di Astro GO.
Menariknya, karya ini mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa, iaitu figura hebat yang pernah berkolaborasi dengan nama-nama gergasi K-Pop seperti BTS, TOMORROW X TOGETHER, dan ENHYPEN.
Menurut anggota kumpulan, Daniel Sher, album ini adalah dedikasi paling bermakna buat peminat.
“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan. The First Wave adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan,” jelasnya.

Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam turut menzahirkan keyakinan bahawa The First Wave bakal menjadi manifestasi dedikasi serta kerja keras ALPHA dan membuktikan potensi mereka untuk membawa identiti M-Pop ke tahap yang lebih tinggi.
Melangkah setapak lagi ke hadapan, ALPHA turut diumumkan sebagai duta jenama Sooka, membawakan pengalaman hiburan yang lebih dekat dan eksklusif buat peminat. Bermula 15 Jun 2026, aplikasi penstriman tersebut melancarkan Pelan Sooka x ALPHA berharga RM34.90 untuk tempoh 3 bulan.
Menerusi pelan ini, peminat bukan sahaja ditawarkan akses kepada 79 saluran hiburan serta lebih 50 kandungan mikrodrama daripada pelbagai genre, malah turut menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif yang direka khas untuk memberikan pengalaman hiburan yang lebih dekat dan bermakna.
Antara kelebihan utama yang ditawarkan termasuk akses kepada kandungan eksklusif ALPHA seperti rakaman di sebalik tabir, muzik video kolaborasi Sooka x ALPHA serta temu bual istimewa yang memberikan peluang kepada peminat untuk melihat sisi lebih peribadi kumpulan tersebut.
Selain itu, peminat juga berpeluang menyertai pelbagai ganjaran eksklusif termasuk memenangi sesi Meet & Greet, sesi hangout bersama anggota ALPHA, serta hadiah menarik seperti album dan barangan rasmi kumpulan. Inisiatif ini sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara ALPHA dan peminat setia mereka melalui pengalaman yang lebih interaktif dan istimewa.
Membuktikan populariti dan pengaruh mereka, pra-tempahan bagi album fizikal dan barangan eksklusif fasa pertama telah pun habis dijual sejak ia dibuka pada 6 Jun lalu. Namun, peminat di Malaysia dan Singapura tidak perlu berputus asa kerana sesi kedua akan mula dibuka selepas 15 Jun 2026.
Bagi yang berminat, album fizikal The First Wave ditawarkan pada harga RM89.90. Terdapat juga pakej bundle berharga RM249.90 yang dilengkapi album fizikal, kemeja-T eksklusif, stokin, topi, dan beg tote.
