Ikuti Kami:

Separuh Akhir TTMM 2 Penuh Kejutan: Tema Tradisional ‘Fusion’ Ragut Peluang Ammara

Separuh Akhir TTMM 2 Penuh Kejutan: Tema Tradisional ‘Fusion’ Ragut Peluang Ammara

SHAH ALAM – Debaran pentas separuh akhir program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim kedua akhirnya terjawab apabila lima peserta berjaya menempah tiket ke pentas akhir secara rasminya. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi peserta Ammara apabila kemaraannya terpaksa dihentikan di pentas Konsert Minggu ke-9 yang berlansung malam tadi di Auditorium MBSA Shah Alam.

Bertemakan “Bagai Serai Kita Serumpun” , pentas separuh akhir TTMM telah menguji vokal dan kreativiti para peserta dengan cabaran membawakan lagu-lagu tradisional Melayu yang disuntik dengan elemen fusion.

Kesemua persembahan minggu ini telah diadili dengan teliti oleh juri tetap yang terdiri daripada CP Sarimah Ibrahim dan Dato AC Mizal , di samping juri jemputan berpengalaman, Dato Yusry Abdul Halim serta Noryn Aziz.

Separuh Akhir TTMM 2 Penuh Kejutan: Tema Tradisional 'Fusion' Ragut Peluang Ammara

Berdasarkan keputusan rasmi Kedudukan Konsert Minggu ke-9, pasangan artist-manager Jamilulhayat dan Hussain cemerlang menduduki tempat pertama. Mereka berjaya memukau juri menerusi tugasan lagu ‘Berdendang Dalam Tangisan’ nyanyian asal legenda Dato’ Jamal Abdillah.

Kemanisan tidak terhenti disitu buat pasangan ini apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah ‘Manager Paling Perform’ (MPP) serta anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie untuk minggu ke-9. Sehingga konsert Separuh Akhir semalam, pasangan ini telah berjaya mengungguli anugerah ‘Manager Paling Perform’ sebanyak 4 kali.

Separuh Akhir TTMM 2 Penuh Kejutan: Tema Tradisional 'Fusion' Ragut Peluang Ammara

Mengekori rapat di tangga kedua adalah gandingan Dato’ Sri Vida dan Cik B yang tampil unik dengan lagu dikir barat ‘Anak Tupai’ nyanyian Halim Yazid. Tempat ketiga pula menjadi milik Dato’ A. Aida dan Azeva yang cemerlang membawakan lagu ‘Nirmala’ nyanyian asal Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Turut mengesahkan kemaraan ke pentas akhir di kedudukan keempat dan kelima masing-masing ialah pasangan Safura dan Kim Khairii yang menghiburkan penonton dengan lagu ‘Joget Berhibur’ , serta Adira dan Anggrek yang mempertaruhkan lagu ‘Kesuma’.

Separuh Akhir TTMM 2 Penuh Kejutan: Tema Tradisional 'Fusion' Ragut Peluang Ammara

Malangnya bagi Ammara, tuah tidak menyebelahi beliau pada minggu ini. Meskipun telah memberikan saingan menerusi lagu ‘Intan Payung’ (Bunga ft Noraniza Idris), beliau sekadar berpuas hati di kedudukan keenam dan tercorot, sekaligus memaksa langkahnya terhenti di pusingan separuh akhir.

Selain persembahan solo yang mendebarkan, Konsert 9 turut diserikan dengan pusingan ‘Lagu Battle’ yang menyaksikan persaingan sengit antara dua kumpulan. Team Viral yang dibarisi oleh Azeva, Kim Khairii, dan Amarra telah berentap membawakan lagu ‘How It’s Done’ nyanyian Huntr/x , menentang Team FYP (Hussain, Cik B, dan Anggrek) yang memanaskan pentas dengan lagu ‘We Go Up’ oleh Babymonster.

Persaingan kini memuncak menantikan siapakah yang bakal merangkul gelaran juara Talk To My Manager Musim Ke-2 di pentas akhir kelak pada minggu hadapan!

Loading...