Ikuti Kami:

PERODUA Tawar Rebat Khas QV-E, Harga Model EV Kini Bermula Serendah RM87,499

PERODUA Tawar Rebat Khas QV-E, Harga Model EV Kini Bermula Serendah RM87,499

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) hari ini mengumumkan tawaran harga baharu dan rebat khas untuk model kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E, yang menyaksikan harga jualan kini bermula serendah RM87,499 untuk pemilikan penuh bagi tempoh terhad.

Sebelum ini, model EV pertama buatan Malaysia itu ditawarkan pada harga RM93,999 bagi pemilikan penuh. Manakala menerusi pakej pajakan bateri atau Battery as a Service (BAAS), ia kini boleh dimiliki pada harga RM63,499 berbanding RM69,999 sebelum ini, dengan komitmen bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama sembilan tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, harga khas ini diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan dan sah bermula hari ini sehingga akhir September ini.

“Kami memperkenalkan harga khas untuk tempoh terhad berkuat kuasa serta-merta bagi membantu pengguna yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai pakej BAAS, Zainal Abidin menjelaskan ia menawarkan perlindungan komprehensif yang merangkumi aspek keselamatan bateri, penghapusan, penggantian, serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan sembilan tahun.

Langkah ini bagi memberikan ketenangan minda kepada pelanggan, memandangkan pihak PERODUA akan menguruskan sepenuhnya jangka hayat bateri berkenaan. Bagi pembeli secara pemilikan penuh pula, PERODUA turut menyediakan pilihan pembelian bateri baharu apabila tiba masa untuk ia dilupuskan.

Berita gembira turut menanti pelanggan sedia ada QV-E di mana mereka bakal menerima pulangan wang khas. Selain itu, komitmen bulanan bagi pengguna BAAS sedia ada juga dikurangkan daripada RM275 kepada RM215 sebulan, yang akan berkuat kuasa pada kitaran pembayaran seterusnya. Penasihat jualan PERODUA akan menghubungi pelanggan terlibat dalam masa terdekat.

Keupayaan PERODUA untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif ini didorong oleh pengoptimuman rantaian ekosistem automotif tempatan. Syarikat bersama vendor domestik telah berjaya meningkatkan kandungan tempatan dalam jumlah yang signifikan bagi pengeluaran kenderaan elektrik bateri (BEV) ini.

“Perkembangan ini penting kerana kami kini boleh menyimpan inventori komponen alat ganti yang lebih besar – terutamanya bahagian badan kenderaan – untuk memastikan pelanggan boleh bergantung kepada alat ganti yang sudah tersedia di peringkat domestik apabila diperlukan,” tambah beliau, sambil menyatakan bahawa kadar pengeluaran QV-E kini telah meningkat kepada lebih 500 unit sebulan.

Langkah memperkasakan komponen lokal ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan asing, malah membantu melindungi peluang pekerjaan di dalam negara.

Sebagai rekod, QV-E mula diluncurkan ke pasaran pada 1 Disember tahun lalu. Jentera ini dijana oleh bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti 52.5kW yang mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 445 kilometer (NEDC) untuk sekali pengecasan penuh.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi dengan teknologi canggih termasuk Sistem Pengesanan dan Amaran Kanak-kanak yang berupaya mengesan pergerakan atau tanda vital seperti bunyi nafas di dalam kabin, walaupun objek tersebut dilitupi oleh fabrik.

Rakyat Malaysia yang berminat untuk memiliki model ini boleh membuat tempahan dengan memuat turun aplikasi super P-Circle atau mengunjungi mana-mana bilik pameran berdaftar PERODUA di seluruh negara untuk maklumat lanjut.

Loading...