Ikuti Kami:

Krisis Asia Barat: Malaysia Bawa Usul Kebal Rantaian Makanan Di Mesyuarat Khas ASEAN

Krisis Asia Barat: Malaysia Bawa Usul Kebal Rantaian Makanan Di Mesyuarat Khas ASEAN

Datuk Chan Foong Hin wakili Malaysia di Mesyuarat Khas AMAF bincang kesan krisis Asia Barat. Malaysia galas peranan aktif perkukuh daya tahan sistem makanan serantau ASEAN

 

PUTRAJAYA – Menyedari impak ketegangan konflik di Asia Barat yang boleh mengancam kestabilan global, Malaysia mengambil langkah proaktif dengan menyokong penuh usaha rantaian serantau untuk memperkukuh sistem pertanian yang mampan di peringkat ASEAN.

Komitmen tersebut dizahirkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin ketika mewakili negara dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) yang dilangsungkan secara maya pada 29 April lepas. Mesyuarat khas berkenaan difokuskan untuk membincangkan perkembangan mutakhir di rantau Asia Barat serta meneliti impak langsungnya ke atas status keterjaminan makanan serantau.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan bahawa penyertaan Malaysia mencerminkan dedikasi berterusan kerajaan bagi memacu kerjasama rantau mendepani ketidaktentuan yang mampu merencatkan sektor pertanian, perdagangan, serta input makanan asas.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia menyokong usaha bersama ASEAN untuk mempertingkat kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti serta pelaburan dalam sistem pertanian yang mampan, inklusif, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan regeneratif.

Kementerian menegaskan bahawa penyelarasan rentas sektor yang lebih kukuh dalam ASEAN amat penting bagi menangani cabaran yang saling berkait melibatkan keterjaminan tenaga, bekalan baja, logistik dan keterjaminan makanan secara menyeluruh.

Krisis Asia Barat: Malaysia Bawa Usul Kebal Rantaian Makanan Di Mesyuarat Khas ASEAN

Sebagai langkah ke hadapan, mesyuarat itu telah menetapkan Sekretariat ASEAN sebagai pusat penyelarasan rasmi bagi menghubungkan pihak berkepentingan, rakan dialog, dan kumpulan kerja sektoral yang terlibat secara langsung.

Selain usul serantau, Malaysia turut mengambil peluang membentangkan deretan langkah kesiapsiagaan domestik negara dalam menangkis sebarang risiko pudar luaran. Inisiatif ini dikemudi menerusi penyelarasan rapat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menjamin kestabilan bekalan sekaligus mengawal tekanan inflasi.

Antara mekanisme yang digerakkan termasuklah pengaktifan pengurusan krisis serta mesyuarat pemantauan berkala setiap minggu yang melibatkan pelbagai kementerian.

Bagi memastikan kelangsungan harian rakyat kekal terjamin, kerajaan meletakkan beberapa komoditi utama di bawah radar pemantauan ketat iaitu beras, ayam dan telur, sayur-sayuran terpilih serta hasil perikanan. Dalam masa yang sama, elemen risiko pendorong kos seperti ketersediaan bekalan diesel, harga baja, dan kos makanan ternakan juga terus dipantau dari semasa ke semasa.

KPKM menegaskan bahawa mereka kekal komited untuk melaksanakan sebarang intervensi bersasar serta perancangan proaktif demi melindungi rantaian bekalan yang bakal memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia dan komuniti ASEAN secara amnya.

Loading...