Ikuti Kami:

KPKT Sasar Kerjasama Strategik Bersama Sabah, Rangka Inisiatif Baharu Perkasa Perumahan Rakyat

KPKT Sasar Kerjasama Strategik Bersama Sabah, Rangka Inisiatif Baharu Perkasa Perumahan Rakyat

Timbalan Menteri KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah turun padang meninjau tapak insiden kebakaran di Kampung Karamunting, santuni mangsa kebakaran Sandakan, kebajikan terus diberi keutamaan

SANDAKAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal mengadakan perbincangan khusus bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif perumahan di negeri tersebut.

Komitmen itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, yang memberitahu bahawa usaha bersepadu tersebut akan diperluaskan lagi menerusi penglibatan jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah kementeriannya.

Sebagai bukti keseriusan kerajaan, beliau menyatakan bahawa KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan terus memacu pelaksanaan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) khusus untuk penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah.

Bagi tahun 2025, sebanyak RM4.8 juta telah diperuntukkan dan ianya telah ditingkatkan kepada RM5.7 juta pada tahun 2026. Peningkatan peruntukan ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan aset perumahan awam sentiasa terpelihara, sekaligus meningkatkan kualiti hidup komuniti Sabah terutamanya di Sandakan.

KPKT Sasar Kerjasama Strategik Bersama Sabah, Rangka Inisiatif Baharu Perkasa Perumahan Rakyat

Terdahulu, Datuk Hajah Aiman Athirah turun padang meninjau tapak insiden kebakaran di Kampung Karamunting, di samping menyantuni mangsa-mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sibuga dan Dewan Rumah Orang Tua Sri Harapan. Lawatan ini bertujuan memastikan tahap kebajikan mangsa dari Kampung Bahagia dan Kampung Karamunting itu terus diberikan perhatian wajar.

Membawa khabar gembira buat mangsa yang terjejas, memandangkan PPS dijadualkan tutup pada 2 Mei 2026, platform penginapan AirBnB telah bersetuju menawarkan penyewaan secara percuma selama 28 hari kepada 50 keluarga terjejas. Inisiatif ini membolehkan mereka mendapat tempat berteduh sementara menunggu urusan mendapatkan kediaman baharu selesai.

KPKT Sasar Kerjasama Strategik Bersama Sabah, Rangka Inisiatif Baharu Perkasa Perumahan Rakyat

Siri lawatan kerja ini turut menonjolkan pendekatan holistik KPKT apabila ia disertai secara proaktif oleh agensi-agensi lain seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Bagi menyuntik kesedaran penjagaan alam sekitar, pihak SWCorp telah mengadakan taklimat pengurusan sisa pepejal “Trash to Cash”, yang mendidik komuniti cara mengasingkan sisa dan mengitar semula untuk menjana pendapatan tunai.

Malah, seramai 150 orang kanak-kanak mangsa kebakaran turut dihiburkan dengan pengisian Educational Games bagi memberi pendedahan awal berhubung nilai sisa yang boleh dikitar dan diguna semula. Kesemua inisiatif ini membuktikan bahawa KPKT bukan sekadar memfokuskan isu perumahan semata-mata, sebaliknya meletakkan keutamaan tinggi terhadap aspek kebersihan, kesejahteraan, serta sokongan moral komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Loading...