Pemanas Pentas AJL40! ‘The Soundstage’ Himpun 4 Vokal Berbisa Bawa Lagu Juara
- oleh Editor MYBUZZ
- 30 Apr 2026 11:08 pm
KUALA LUMPUR: Debaran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kini semakin dirasai susulan pengumuman 10 finalis yang bakal berentap. Seiring dengan kemuncak debaran itu, sebuah konsert istimewa berskala besar, The Soundstage, dibawakan khas bagi memanaskan pentas dan menghidupkan kembali nostalgia magis lagu-lagu hits yang pernah melakar sejarah di pentas AJL.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Jun 2026 bermula jam 8.30 malam, konsert ini menjanjikan pengalaman luar biasa dengan membawa penonton menelusuri garis masa evolusi muzik tempatan sepanjang 40 tahun anugerah berprestij itu dianjurkan.

Lebih gah, pentas The Soundstage akan menyaksikan pertembungan vokal mantap daripada empat figura hebat berbeza generasi yang masing-masing pernah meninggalkan impak tersendiri dan melakar nama di pentas AJL. Barisan artis tersebut ialah Ernie Zakri, Khai Bahar, Haqiem Rusli, dan Siti Nordiana.
Menariknya pada malam konsert itu, setiap artis akan menyajikan pelbagai karya, daripada lagu hits mereka sendiri sehinggalah kepada interpretasi segar lagu-lagu juara yang pernah menjulang trofi berprestij AJL. Persembahan yang bakal menggabungkan elemen karya klasik dengan sentuhan DNA dan karakter vokal tersendiri setiap penyanyi ini pasti membangkitkan memori indah buat penonton yang hadir.
The Soundstage secara puitisnya membuka ruang kepada penonton untuk kembali merasai memori lama, di mana setiap bait lirik yang pernah menjadi siulan ramai akan bergema kembali dalam suasana yang lebih intim dan memukau.

Pengumuman mengenai jualan tiket telah pun dimaklumkan secara rasmi menerusi program hiburan sensasi, MBuzz baru-baru ini. Para peminat yang enggan melepaskan peluang emas mengukir memori malam penuh nostalgia ini boleh mendapatkan tiket menerusi platform dalam talian rasmi WOWTix di www.wowtix.com.my.
Tiket ditawarkan pada tiga harga berbeza mengikut zon pilihan, iaitu RM159 (General Admission), RM179 (Gold Seat), dan RM229 (Premium Seat). Selain penganjuran The Soundstage, pihak penganjur turut menjanjikan pelbagai pengumuman dan aktiviti eksklusif menarik sempena AJL40 yang bakal diumumkan kelak, termasuklah penganjuran sesi ramah mesra (meet & greet) dan pelbagai program lain.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan terkini dan maklumat program, orang ramai boleh melayari platform media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, dan Threads melalui akaun @TV3Malaysia, serta di TikTok melalui @TV3Malaysia Official.
