Ikuti Kami:

TCL Perkukuh Dominasi Pasaran Malaysia, Lancar Teknologi SQD-Mini LED 2026

TCL Perkukuh Dominasi Pasaran Malaysia, Lancar Teknologi SQD-Mini LED 2026

KUALA LUMPUR – Gergasi teknologi global, TCL, hari ini secara rasminya mengumumkan strategi produk dan komersial terbaharunya untuk pasaran Malaysia bagi tahun 2026.

Langkah ini menyaksikan pelancaran sulung teknologi proprietari SQD-Mini LED yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan jenama tersebut dalam segmen pasaran pertengahan hingga premium.

Dengan pendapatan tahunan global yang kini mencecah lebih RM206 bilion, TCL terus membuktikan kedudukannya sebagai peneraju industri. Syarikat kini menguasai 50 peratus pegangan pasaran Mini LED global dan telah mencatatkan penghantaran televisyen melebihi 30 juta unit pada tahun 2025, sekali gus mengukuhkan dominasinya dalam kategori skrin besar, terutamanya model 98 inci.

Pengarah Urusan TCL Malaysia, Ms Carolyn, menyatakan bahawa Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan yang sangat strategik bagi pengembangan Ekosistem Smart IoT syarikat. Beliau menekankan bahawa pengenalan SQD-Mini LED bukan sekadar pelancaran produk biasa, tetapi merupakan satu usaha menetapkan penanda aras baharu bagi teknologi paparan premium.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran Mini-LED telah berkembang pesat dan kadar pertumbuhannya telah mengatasi OLED,” kata Ms Carolyn.

Beliau turut menjelaskan bahawa teknologi SQD-Mini LED menawarkan kelebihan ketara berbanding OLED, termasuk kecerahan yang lebih tinggi, jangka hayat lebih lama dan kos pemilikan yang lebih rendah, tanpa risiko masalah “burn-in” yang sering dikaitkan dengan panel OLED.

TCL bakal mengkomersialkan tiga generasi Mini LED di Malaysia, yang diterajui oleh model Flagship X11L yang Menampilkan teknologi SQD-Mini LED dengan kecerahan puncak mencecah 10,000 nits dan 20,736 zon peredupan tepat untuk segmen ultra-premium. Diikuti dengan siri C8L dan C7L yang memperluaskan teknologi SQD-Mini LED ke pasaran volum tinggi premium dengan tahap kecerahan sehingga 6,000 nits serta Sistem Audio Premium yang kesemua model televisyen ini dilengkapi dengan sistem audio yang ditaja khas oleh Bang & Olufsen.

Selain televisyen, TCL turut memperkenalkan rangkaian peralatan rumah pintar yang menekankan kecekapan tenaga dan estetika moden iaitu Penyaman Udara Siri VoxIN dengan dilengkapi teknologi penjimatan tenaga pintar T-AI yang mampu menjimatkan sehingga 37 peratus tenaga berbanding model konvensional, Peti Sejuk Terbina Dalam dengan rekaan nipis dengan integrasi kabinet 1cm dan teknologi pensterilan T-Fresh dan Mesin Basuh C682 yang menampilkan Super Drum 540mm dan fungsi “Auto Dose” untuk kemudahan pengguna bandar.

Pelaburan besar terus menjadi tunjang kekuatan TCL, di mana unit TCL CSOT telah melabur hampir RM170 bilion dalam membangunkan rantaian industri paparan semikonduktor bertaraf dunia, termasuk teknologi OLED cetakan inkjet dan Micro-LED.

Sebagai sebahagian daripada strategi globalnya, TCL juga telah menandatangani perjanjian untuk menjadi rakan global Sukan Olimpik Musim Panas Los Angeles 2028, yang dijangka akan meningkatkan lagi profil jenama itu di persada antarabangsa.

Dengan 47 pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan 40 pangkalan pembuatan di seluruh dunia, TCL komited untuk terus membawa “Teknologi Terunggul” kepada lebih 1.3 bilion penggunanya di seluruh dunia.

Loading...