Ikuti Kami:

Dari Treehill ke New Boyz, Asfan dan Manusia Satukan Kekuatan Dalam “Dusta”

Dari Treehill ke New Boyz, Asfan dan Manusia Satukan Kekuatan Dalam “Dusta”

PUNCAK JALIL – Industri muzik tempatan kini disemarakkan lagi dengan kehadiran sebuah kumpulan baharu yang bukan calang-calang, Asfan dan Manusia, yang ditubuhkan secara rasmi pada penghujung tahun 2025.

Apa yang mencuri tumpuan, kumpulan ini boleh diibaratkan sebagai sebuah ‘superband’ kerana menghimpunkan lima orang pemuzik yang sarat dengan pengalaman daripada beberapa buah kumpulan popular tanah air.

 

Dari Treehill ke New Boyz, Asfan dan Manusia Satukan Kekuatan Dalam “Dusta”

Diterajui oleh penyanyi Asfan Shah yang bertindak selaku vokalis utama, kumpulan Asfan dan Manusia turut diperkuatkan oleh Adam dan Arash daripada kumpulan Treehill sebagai pemain gitar, Zack dari New Boyz di posisi bass, serta One dari Sofazr selaku pemain dram. Penubuhan kolaborasi epik ini menandakan komitmen besar mereka untuk terus berkembang secara konsisten dan melebarkan pengaruh muzik pada masa akan datang.

Sebagai mukadimah, Asfan dan Manusia telah mempertaruhkan single sulung mereka yang diberi judul Dusta pada Januari 2026. Lagu yang mendapat sentuhan komposer Asfan Shah sendiri berserta lirik puitis oleh Noctra Vale di bawah Rusa Publishing Sdn Bhd ini mengangkat tema berat merangkumi pengkhianatan dan kepalsuan dalam sesebuah ikatan hubungan.

Dari Treehill ke New Boyz, Asfan dan Manusia Satukan Kekuatan Dalam “Dusta”

Karya ini sarat dengan emosi, menggambarkan kekecewaan mendalam dan luka apabila kepercayaan disalahgunakan oleh individu tersayang. Ia diterjemahkan menerusi bait-bait lirik jujur dan bersahaja seperti, “Kata maaf yang kau ucapkan, Hadir luka tangisan” dan “Kau langgar janji janji, Sungguhnya kau dusta” yang jelas menzahirkan konflik antara manisnya kata-kata berbanding perbuatan yang menyakitkan.

Bagi meraikan kelahiran single bermakna ini, pihak pengurusan telah mengadakan satu majlis pelancaran dan sidang media di cawangan kedua Juz Coffee yang terletak di Puncak Jalil. Jenama kopi terkenal itu turut memainkan peranan sebagai penaja rasmi acara berkenaan.

Majlis yang dianjurkan itu berjaya menghimpunkan wakil-wakil media, rakan industri, serta para peminat, sekali gus membuka ruang kepada anggota kumpulan untuk berkongsi inspirasi, proses kreatif, dan harapan mereka terhadap penerimaan karya terbaharu itu.

Buat para peminat yang ingin menghayati emosi lara yang dibawakan, single Dusta kini sudah boleh distrim dan didengarkan di semua pelantar digital muzik utama. Dalam pada itu, video muzik rasmi bagi lagu ini pula dijadualkan bakal menemui penonton menerusi saluran YouTube Rusa Music dalam masa terdekat.

Loading...