KBS & JPM Perkukuh Elemen Kerohanian Dalam Program Rakan Muda
- oleh Editor MYBUZZ
- 3 Feb 2026 3:47 pm
Kerjasama KBS dan Hal Ehwal Agama Tumpu Pembangunan Sahsiah Belia dalam program Rakan Muda – YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu langkah strategik untuk menyuntik elemen kerohanian ke dalam pembangunan belia secara menyeluruh menerusi program Rakan Muda.
Perkara tersebut dibincangkan susulan kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke atas Menteri Belia dan Sukan pada hari ini.
Hasil pertemuan tersebut menekankan keperluan untuk mengangkat peranan institusi keagamaan, khususnya masjid, agar tidak hanya berfungsi sebagai tempat ibadah semata-mata. Sebaliknya, institusi ini disasarkan menjadi pusat komuniti yang inklusif dan dinamik dalam membangunkan potensi golongan belia melalui inisiatif Rakan Muda.

Program Rakan Muda diperluas, tekankan kesejahteraan mental dan gaya hidup sihat, – Gambar hiasan
Masjid dilihat berupaya menjadi platform yang ideal bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti belia dan sukan yang bersesuaian dengan nilai serta budaya komuniti setempat. Pendekatan ini diyakini mampu mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, inisiatif ini juga dirangka untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat, memperkukuhkan sahsiah dan disiplin, serta menjaga kesejahteraan mental belia. Usaha memperkasa kerohanian ini adalah selari dengan pendekatan dan nilai-nilai murni gagasan Malaysia MADANI.
Dalam memastikan program ini bersifat menyeluruh, KBS turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pelbagai rumah ibadat daripada agama lain. Langkah ini bertujuan memperluaskan capaian Rakan Muda secara inklusif, terutamanya melalui segmen gaya hidup Rakan Prihatin.
Kementerian berharap pendekatan yang memfokuskan kepada aspek kerohanian ini dapat terus memperkasa agenda pembangunan negara, sekali gus meningkatkan jati diri belia di Malaysia.
