Ikuti Kami:

Pengorbanan Dihargai, 413 Veteran ATM Terima Pingat Jasa Malaysia

Pengorbanan Dihargai, 413 Veteran ATM Terima Pingat Jasa Malaysia

Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, menyempurnakan majlis istiadat penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 413 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

 

KUALA LUMPUR: Pengorbanan dan titisan keringat wira-wira negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air terus mendapat pengiktirafan tertinggi apabila seramai 413 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM), hari ini.

Majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dewan Perdana FELDA itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin. Penganugerahan ini turut melibatkan kehadiran balu serta wakil waris bagi mengenang jasa perwira yang telah pergi.

PJM merupakan simbol penghargaan yang tidak ternilai daripada negara buat warga veteran ATM yang telah berjuang demi keselamatan kedaulatan tanah air, selain bertujuan memastikan sejarah perjuangan mereka terus dihayati oleh generasi masa kini.

Pengorbanan Dihargai, 413 Veteran ATM Terima Pingat Jasa Malaysia

Bukan sekadar pingat, tapi penghormatan buat wira negara. 413 veteran ATM terima Pingat Jasa Malaysia dalam majlis penuh penghargaan.

 

Dato’ Seri Mohamed Khaled dalam majlis tersebut turut membawa berita gembira apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM303.3 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi tahun 2026.

Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 3.16 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya. Lebih membanggakan, hampir 90 peratus daripada dana tersebut, iaitu sebanyak RM274.4 juta, disalurkan khusus untuk agenda kesejahteraan dan kebajikan veteran.

“Inisiatif ini selaras dengan agenda MINDEF untuk memperkasa kebajikan warga veteran ATM bagi memastikan kepentingan mereka serta keluarga terus terpelihara tanpa ada sesiapa yang tercicir atau terpinggir,” tegas kementerian dalam satu kenyataan media.

Sebagai nilai tambah kepada penghargaan tersebut, seramai 413 penerima PJM kali ini turut bakal menerima bayaran insentif khas sebanyak RM500 yang dibayar secara sekali beri (one-off).

Bukan itu sahaja, bantuan tambahan sebanyak RM250 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2026 juga akan disalurkan oleh JHEV ATM kepada semua veteran yang layak. Ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang diterima oleh pemegang PJM adalah sebanyak RM750.

Agenda kesejahteraan ini merupakan salah satu teras utama di bawah Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030, yang mana MINDEF komited untuk memastikan nasib dan hal ehwal veteran sentiasa menjadi keutamaan negara.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri; serta barisan kepimpinan tertinggi awam dan tentera.

Loading...