KPKT Perkukuh Inisiatif MyKiosk, Lebih 7,000 Unit Disediakan Untuk Penjaja Kecil
- oleh Editor MYBUZZ
- 1 Feb 2026 2:02 pm
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib, menyempurnakan perasmian tapak MyKiosk Amanjaya 1 Bandar Belia (Youth Town) di Sungai Petani
SINTOK: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited dalam memperkasa ekonomi rakyat, khususnya bagi golongan B40 serta penjaja kecil, melalui inisiatif penyediaan lebih 7,000 unit MyKiosk di seluruh negara. Inisiatif ini direka bagi menyediakan ruang perniagaan yang lebih bersih, teratur, selamat, dan berdaya saing.
Menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), KPKT pada tahun 2023 telah berjaya membina sebanyak 3,189 unit MyKiosk dengan melibatkan 114 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara. Rentetan daripada sambutan positif itu, fasa MyKiosk 2.0 diteruskan untuk tahun 2024 dengan tambahan sebanyak 4,054 unit lagi di 100 PBT.
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib, baru-baru ini meluangkan masa mengadakan lawatan kerja dua hari ke negeri Kedah untuk meninjau keberkesanan program ini.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib, melawat salah satu trak makanan milik peniaga di tapak MyKiosk Amanjaya 1 Bandar Belia (Youth Town) di Sungai Petani
Semasa lawatan tersebut, beliau telah menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak MyKiosk Amanjaya 1 Bandar Belia (Youth Town) di Sungai Petani. Turut hadir mengiringi beliau ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah.
Difahamkan, tapak MyKiosk Amanjaya 1 ini merupakan kawasan gantian untuk peniaga sedia ada dan telah diserahkan pada 30 Jun 2025, yang mana ia menampilkan nilai kreativiti dan inovasi dengan ciri-ciri tema tempatan yang menarik.
Selain itu, rombongan KPKT turut melawat tapak projek terbaharu kementerian iaitu inisiatif MyKiosk@Kampus bertempat di INASIS Luar Kampus, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

KPKT luas program MyKiosk ke Kampus, sokong keusahawanan pelajar UUM.
Langkah proaktif ini menyaksikan penyerahan 13 unit MyKiosk, yang merupakan projek rintis kolaborasi pertama antara KPKT dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu. Ia bermatlamat untuk menyediakan platform perniagaan yang kondusif bagi pelajar.
Berucap pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran MyKiosk@Kampus yang diadakan pada 31 Januari 2026, Dr. M Noor Azman menzahirkan keyakinan bahawa inisiatif ini bakal mengukuhkan lagi landskap keusahawanan di peringkat universiti.
“Penempatan MyKiosk ini secara langsung akan mengukuhkan ekosistem keusahawan pelajar di UUM, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk terlibat secara aktif dalam perniagaan berpremis,” ujar beliau.
Majlis pelancaran bersejarah di universiti tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, serta para pegawai dari KPKT dan ketua-ketua jabatan universiti.
