Ikuti Kami:

JPPKK Rangkul Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek AHIN 2026

JPPKK Rangkul Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek AHIN 2026

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali,  menyampaikan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 berserta piala AHIN 2026 dan sijil penghargaan kepada Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) membuktikan keunggulan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal semata-mata, malah turut cemerlang dalam memacu pembudayaan inovasi.

Kejayaan ini terbukti apabila JPPKK dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek bagi kategori Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan atau Negeri bersempena majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Pengiktirafan berprestij itu membolehkan jabatan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 berserta piala AHIN dan sijil penghargaan. Hadiah kemenangan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, kepada Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.

Kemenangan bermakna ini merupakan cerminan kepada komitmen berterusan JPPKK dalam memperkasa ekosistem harta intelek (IP) secara menyeluruh dan strategik di peringkat politeknik dan kolej komuniti (POLYCC). Sepanjang tempoh bermula tahun 2023 hingga 2025, rekod cemerlang telah dicatatkan apabila sebanyak 1,525 produk berjaya difailkan serta didaftarkan sebagai harta intelek, sekali gus meningkatkan pembudayaan inovasi di institusi berkenaan.

Bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi terus diperkasa, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan dan pemerkasaan harta intelek secara menyeluruh. Usaha ini dirangka secara strategik bagi memperkukuh keupayaan bakat, meningkatkan kesedaran serta memperluas potensi pengkomersialan hasil inovasi di peringkat politeknik dan kolej komuniti.

Antara inisiatif utama yang digerakkan ialah penganjuran Bengkel Penderafan Paten secara bimbingan langsung yang berperanan sebagai platform pembangunan bakat. Bengkel ini memberi pendedahan praktikal kepada warga POLYCC dalam menilai kebolehpatentan hasil inovasi, sekali gus meningkatkan kualiti dan nilai harta intelek yang dihasilkan.

Selain itu, Karnival Harta Intelek turut dilaksanakan sebagai medium berkesan untuk meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman mengenai kepentingan perlindungan harta intelek. Program ini bukan sahaja mendekatkan konsep IP kepada warga institusi pendidikan, malah berjaya memupuk budaya inovasi secara lebih inklusif.

JPPKK juga aktif menyertai pameran reruai IPR Market Place sempena Festival of Ideas Putrajaya yang berfungsi sebagai platform utama bagi tujuan pemerkasaan dan pengkomersialan harta intelek. Penyertaan ini memberi peluang kepada inovator memperkenalkan produk dan idea kepada pasaran serta pihak industri secara lebih meluas.

Dalam usaha memperkukuh perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama, Forum Harta Intelek turut dianjurkan dengan penglibatan warga POLYCC, komuniti dan pihak industri. Forum ini menjadi wadah penting bagi pertukaran pandangan, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan pengurusan serta perlindungan harta intelek.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif berkenaan, JPPKK turut menjalin kolaborasi strategik melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Kerjasama ini bertujuan memperkukuh sokongan kepakaran dan memperluas akses kepada ekosistem harta intelek nasional secara lebih berstruktur dan mampan.

JPPKK Rangkul Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek AHIN 2026

Batu Seremban bawa tuah, Kolej Komuniti Pagoh Gondol Emas di pentas AHIN 2026

 

Dalam majlis yang sama, kecemerlangan institusi di bawah JPPKK diteruskan lagi dengan kejayaan Kolej Komuniti Pagoh, Johor yang cemerlang merangkul Pingat Emas bagi Kategori InoReka (Reka Bentuk Perindustrian).

Kemenangan tersebut diraih menerusi produk “Pouch Sampul Warisan”, iaitu salah satu inovasi di bawah rangkaian produk komersial ‘Batu Seremban Game Kit’. Menariknya, penghasilan serta pengkomersialan produk ini telah disokong melalui dana ‘TVET Applied Commercialization Grant Scheme’ (T-ACGS) pada tahun 2025 yang nyata banyak membantu mengukuhkan kapasiti produk untuk menembusi pasaran dengan cemerlang.

Segala pencapaian gemilang pada penganjuran AHIN 2026 yang merekodkan keseluruhan 552 penyertaan ini adalah amat bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ia selari dengan visi di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memberi penekanan khusus terhadap pembudayaan inovasi, pengkomersialan hasil penyelidikan, serta pengukuhan ekosistem bakat yang berteraskan teknologi.

Loading...