Biar Basah Lencun, Aura Konsert Wali Kembali Buat 12,000 Penonton Tak Senang Duduk
- oleh Editor MYBUZZ
- 2 May 2026 7:50 pm
KUALA LUMPUR – Cuaca buruk dan hujan lebat yang melanda ibu kota malam tadi langsung tidak mencacatkan momentum apabila hampir 12,000 penonton membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil. Kehadiran lautan manusia ini membuktikan aura teguh kumpulan popular Indonesia itu sempena penganjuran Konsert Wali Kembali.
Ternyata, konsert solo yang direalisasikan menerusi penganjuran bersama GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures itu berjaya mencipta fenomena luar biasa. Buktinya, kedatangan hujan sebelum konsert langsung tidak mematahkan semangat peminat yang sanggup menunggu di perkarangan stadium seawal jam 4.00 petang lagi.
Keterujaan memuncak apabila konsert bermula tepat pada masanya iaitu jam 8.30 malam, dan ia terus disambut dengan sorakan bergema daripada para peminat.

Persembahan nyata berlangsung dalam suasana yang cukup ‘happening’, memukau penonton sehingga membuatkan mereka tidak dapat duduk diam di kerusi masing-masing. Suasana stadium bertukar menjadi meriah seolah-olah sebuah pesta apabila ribuan penonton dilihat berdiri, menari, dan menyanyi bersama tanpa henti.
Vokalisnya, Faank, bersama Apoy (gitar), Tomi (dram), dan Ovie (papan kekunci) memberikan tenaga maksimum saat mendendangkan deretan lagu ‘berhantu’ pujaan ramai seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh, dan Baik-Baik Sayang. Sokongan padu ini nyata membuatkan anggota Wali Band amat terharu, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk mereka memberikan persembahan sehebat itu.
Namun, malam tersebut bukan sekadar medan hiburan semata-mata. Mengekalkan identiti kumpulan yang sangat sinonim dengan konsep ‘dakwah hiburan’, Wali Band mengambil kesempatan emas itu untuk menyelitkan pesanan kerohanian.

Suasana bertukar syahdu apabila ahli kumpulan mengalunkan zikir dan menitipkan doa-doa buat para penonton, termasuk membacakan Al-Fatihah sebagai perlambangan kasih sayang terhadap peminat yang sudi hadir. Mereka turut mendoakan agar urusan harian penonton yang hadir dari pelbagai lingkungan usia dan latar belakang itu dipermudahkan, serta diberkati hidup di dunia dan akhirat.
Lebih bermakna, Wali Band tidak melupakan krisis kemanusiaan global dengan membacakan doa khusus buat rakyat Palestin sebagai tanda keprihatinan dan solidariti tegas mereka.
Secara keseluruhannya, Konsert Wali Kembali benar-benar menyajikan pengalaman yang menyentuh jiwa. Setiap lagu dan persembahan yang dibawakan sarat dengan mesej positif merangkumi perdamaian, kasih sayang, penjagaan akhlak, dan peringatan ikhlas untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia membuktikan karya Wali Band teguh bukan sahaja pada melodinya, malah pada makna kehidupan yang cuba disampaikan.
