Ikuti Kami:

ANSARA Perkasa Jaringan Teknorat Menerusi Himpunan Gen MARA 2026

ANSARA Perkasa Jaringan Teknorat Menerusi Himpunan Gen MARA 2026

KUALA LUMPUR – Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) menerusi Biro Profesional bakal menganjurkan sebuah majlis kemuncak berskala besar iaitu Himpunan Gen MARA: Sesi Eksklusif Unplugged bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Acara berimpak tinggi yang diatur istimewa bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun MARA ke-60 ini dijadualkan berlangsung pada hari Selasa, 5 Mei 2026, bermula seawal jam 10.30 pagi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Program komprehensif ini dijangka bakal menghimpunkan ratusan tokoh teknokrat, pakar industri, serta usahawan profesional yang secara tuntasnya merupakan produk kejayaan ekosistem MARA. Mereka terdiri daripada barisan alumni MRSM, graduan pelbagai institusi pendidikan di bawah seliaan MARA, serta para penerima tajaan agensi berkenaan.

ANSARA Perkasa Jaringan Teknorat Menerusi Himpunan Gen MARA 2026

ANSARA Anjur Himpunan Gen MARA Sempena Ulang Tahun MARA Ke-60 di WTC KL

 

Naib Presiden ANSARA Malaysia merangkap Ketua Biro Profesional, Ts. Abdul Razak Abdul Khalid berkata, penganjuran acara ini merupakan inisiatif proaktif pihak persatuan untuk menyatukan kembali modal insan berkemahiran tinggi yang telah dibentuk hasil daripada pelaburan strategik MARA selama ini.

Beliau yang turut bertindak selaku Pengarah Program menyifatkan Gen MARA sebagai aset strategik yang amat bernilai buat negara.

“Kami bukan sahaja lahir dari sistem pendidikan yang hebat, malah kini memegang peranan kritikal dalam pelbagai sektor profesional.

“Himpunan ini bertujuan mengukuhkan jaringan (networking) di kalangan teknokrat ini agar kepakaran kolektif kami dapat disalurkan semula demi kemajuan negara,” jelasnya.

Beliau menambah, solidariti yang ditonjolkan oleh Gen MARA ini diharap dapat menterjemahkan sokongan padu daripada komuniti profesional ANSARA terhadap usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan landskap pendidikan dan keusahawanan Bumiputera.

Memilih format dialog Unplugged, platform ini bakal memberikan ruang eksklusif kepada para profesional untuk berinteraksi secara terus dan lebih santai bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

 

ANSARA Perkasa Jaringan Teknorat Menerusi Himpunan Gen MARA 2026

Unplugged Bersama Kepimpinan Negara, Gen MARA buktikan kematangan dan sokongan profesional terhadap agenda pendidikan Bumiputera

 

Selain sesi dialog, himpunan ini turut diserikan dengan pelaksanaan beberapa agenda besar persatuan yang menjadi tonggak pengukuhan peranan ANSARA Malaysia. Antaranya ialah Pelancaran Skuad ANSARA, yang menandakan pengenalan rasmi sebuah badan sukarelawan di bawah naungan persatuan.

Fungsi Skuad ANSARA kini diperluaskan melangkaui bantuan misi kemanusiaan semata-mata, dengan peranan strategik sebagai tunjang sokongan teknikal dan operasi dalam menjayakan pelbagai inisiatif serta program kelolaan ANSARA.

Himpunan ini juga menyaksikan Pra-Pelancaran Karnival Sukan ANSARA 2027, sebagai manifestasi awal ke arah penganjuran temasya sukan dwi-tahunan. Inisiatif ini bukan sahaja berfungsi sebagai medan persaingan sukan yang menyemarakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform penyatuan ribuan alumni merentasi pelbagai generasi.

Melalui pendekatan sukan, ukhuwah yang telah terjalin sejak sekian lama diperkukuh, sekali gus memperkasa semangat kebersamaan dan solidariti dalam kalangan warga ANSARA.

ANSARA Perkasa Jaringan Teknorat Menerusi Himpunan Gen MARA 2026

ANSARA perkukuh solidariti alumni MARA melalui program berimpak tinggi – Naib Presiden ANSARA Malaysia merangkap Ketua Biro Profesional, Ts. Abdul Razak Abdul Khalid

 

Sebagai sebuah entiti yang menaungi ratusan ribu alumni, ANSARA Malaysia memegang komitmen jitu untuk memastikan setiap graduan MARA tidak bergerak secara ‘silo’ atau bersendirian. Menerusi Biro Profesional, persatuan ini bertindak sebagai saluran strategik bagi menyalurkan input pakar kepada kepimpinan negara.

“ANSARA mahu membuktikan bahawa pelaburan kerajaan melalui MARA telah membuahkan hasil yang lestari. Kami berdiri teguh di belakang usaha memperkukuh institusi ini dan sedia berkhidmat sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” tegas Ts. Abdul Razak.

Kemasukan ke program ini adalah PERCUMA dan terbuka kepada semua yang berminat untuk menyertainya. Para peserta digalakkan untuk mendapatkan tempat lebih awal memandangkan kapasiti kehadiran adalah terhad.

Bagi pengesahan kehadiran, orang ramai boleh membuat RSVP secara dalam talian melalui pautan berikut: bit.ly/rsvpunpluggedtpm. Pendaftaran awal ini penting bagi melancarkan urusan penyelarasan serta penyediaan program.

Selain itu, pendaftaran manual secara berkumpulan turut disediakan khusus untuk agensi, organisasi atau kumpulan alumni. Borang pendaftaran boleh dimuat turun melalui https://bit.ly/borangdaftar-unpluggedtpm dan borang yang telah lengkap diisi hendaklah diemelkan semula kepada pihak sekretariat di alamat sekretariat@myansara.org untuk pengesahan lanjut.

Loading...