Ikuti Kami:

HASIL Cipta Sejarah: Kutipan Cukai 2025 Cecah RM203.991 Bilion, Rekod Tertinggi Dalam Tiga Dekad

HASIL Cipta Sejarah: Kutipan Cukai 2025 Cecah RM203.991 Bilion, Rekod Tertinggi Dalam Tiga Dekad

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASIL) melakar sejarah baharu apabila kutipan cukai langsung negara bagi tahun 2025 mencecah RM203.991 bilion.

Angka luar biasa ini bukan sahaja merupakan rekod tertinggi dalam sejarah agensi tersebut, malah buat pertama kalinya melepasi paras RM200 bilion sejak ia diperbadankan pada tahun 1996.Pencapaian signifikan ini diumumkan sempena Sambutan Hari HASIL Ke-30 yang bertemakan “Tiga Dekad Memacu Transformasi”.

Majlis tersebut itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, di Dewan Bangsawan, Menara Hasil Cyberjaya.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, kejayaan ini adalah hasil daripada usaha berterusan HASIL dalam memodenkan sistem percukaian melalui pemerkasaan pendigitalan dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Kekuatan kutipan ini turut memberi impak positif kepada aliran tunai negara, di mana Kerajaan kini mampu memperuntukkan tambahan RM11.4 bilion bagi menyelesaikan bayaran balik cukai tertunggak syarikat secara lebih sistematik dan telus.

Selain meraikan kejayaan kutipan, majlis tersebut turut menjadi platform bagi menghargai warga kerja agensi dan pembayar cukai yang komited.

Anugerah Perdana HASIL 2025 mengangkat lima orang warga kerja HASIL telah menerima anugerah ini sebagai pengiktirafan terhadap profesionalisme, integriti, dan nilai versatil mereka. Antara penerimanya ialah Encik Muhammad Farid bin Jaafar (Jabatan Undang-Undang) dan Puan Madehah binti Ahmad (HASIL Selangor).

Anugerah Pembayar Cukai Terbaik 2025 menghargai sepuluh syarikat korporat telah dipilih berdasarkan tahap pematuhan cukai yang tinggi. Antara syarikat yang menerima pengiktirafan termasuklah HSBC Bank Malaysia Berhad, TM Technology Services Sdn. Bhd., Perodua Engine Manufacturing Sdn. Bhd., dan Honda Assembly (Malaysia) Sdn. Bhd.

Loading...