Malaysia Terajui Wacana Pembandaran Mampan Di Kongres Dunia EAROPH Ke-30
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Apr 2026 6:41 pm
Mesyuarat Majlis Ke-30 serta Kongres Dunia EAROPH Ke-30 pada 23 April 2026 disertai oleh seramai 20 delegasi dari negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Australia, Jepun, Pakistan, Bangladesh, Filipina, Korea Selatan dan Kepulauan Pasifik.
MELAKA – Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Kongres Dunia Eastern Regional Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 buat kali kelima sejak tahun 1992, membuktikan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan negara ini dalam menerajui wacana pembangunan bandar di peringkat global.
Acara berprestij yang menghimpunkan pakar perancang bandar, arkitek, jurutera, pembuat dasar, serta pemaju hartanah dari pelbagai negara ini berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 April 2026 bertempat di Courtyard by Marriott, Melaka. Majlis perasmian pembukaan kongres antarabangsa ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Mengangkat tema utama “City Assets for Community Gains” yang merupakan kesinambungan daripada penganjuran edisi 2024 di Islamabad, Pakistan, wacana ini memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan aset bandar secara strategik. Ia menuntut pendekatan pengurusan yang cekap merangkumi aspek infrastruktur, kemudahan awam, warisan budaya, dan sistem digital bagi menjamin kemampanan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

(Kiri) YBhg. Datuk Wira Dr. M. Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), telah dipilih sebagai Presiden EAROPH International yang baharu.
Selain diberi penghormatan sebagai tuan rumah, Malaysia terus melakar sejarah dan memperkukuhkan pengaruhnya apabila Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman bin Taib secara rasmi dilantik sebagai Presiden EAROPH bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Pengiktirafan ini diperkukuhkan lagi apabila Sekretariat Antarabangsa EAROPH kini secara rasminya berpangkalan di KPKT. Dalam memacu hala tuju pertubuhan, salah satu strategi utama di bawah kepimpinan beliau adalah untuk memuktamadkan dokumen EAROPH Strategic Plan, 2040 yang akan menjadi kompas inisiatif pembangunan bandar mampan di rantau Asia Pasifik kelak.
Bagi merancakkan lagi perbincangan dan pengisian intelektual, Kongres Dunia EAROPH Ke‑30 kali ini menampilkan tiga tokoh utama sebagai ucaptama. Mereka terdiri daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu; Timbalan Gabenor Wilayah Jawa Timur, Indonesia, H.E. Dr. Emil Dardak; serta Penasihat Hartanah PETRONAS, YBhg. Datuk Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif. Kepakaran dan perspektif yang dibawakan oleh ketiga-tiga tokoh ini memberi dimensi menyeluruh terhadap perbincangan isu perancangan bandar di peringkat serantau dan antarabangsa.

Timbalan Menteri KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu turut tampil menyampaikan ucapan dasar beliau di Kongres Dunia EAROPH Ke-30
Pengisian kongres ini turut diperkukuh dengan pelbagai program berimpak tinggi yang dirangka bagi memperkaya wacana dan perkongsian ilmu. Antaranya termasuk tujuh sesi dialog yang menghimpunkan lebih 20 panelis bertaraf antarabangsa, merangkumi pelbagai latar belakang profesional dan disiplin berkaitan pembangunan bandar.
Perbincangan yang diketengahkan bersifat holistik dengan memberi tumpuan kepada empat sub-tema utama, iaitu Risk, Resilience and Funding, Plan and Design for City-Life Value, People and Communities, serta City Management and Operations. Keempat-empat tema ini dirangka untuk menangani cabaran urbanisasi secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut fizikal dan ekonomi, tetapi juga melibatkan aspek komuniti dan tadbir urus bandar.
Selain itu, kongres ini turut menampilkan program sampingan yang interaktif dan berorientasikan teknologi seperti Urban Innovation Exhibition, Minecraft Urban Lab, Robotic Competition, serta modul latihan EAROPH. Program-program ini memberi pendekatan praktikal dan inovatif kepada peserta dalam meneroka idea baharu serta penyelesaian teknologi bagi pembangunan bandar mampan pada masa hadapan.
Penganjuran di Melaka ini dijangka bakal merumuskan dapatan strategik termasuk cadangan dasar dan panduan teknikal untuk diadaptasi di peringkat komuniti. Usaha global dalam memperkasakan pembangunan bandar ini seterusnya akan dibawa ke persidangan 55th EAROPH Regional Congress 2027 di Jepun, sebelum beralih ke 31st EAROPH World Congress 2028 yang dijadualkan berlangsung di Manila, Filipina.
