Balai Seni Negara Umum Pemenang Bakat Muda Sezaman Ke-29 Di Langkawi
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 May 2026 3:57 pm
LANGKAWI – Pertandingan seni berprestij anjuran Balai Seni Negara, Bakat Muda Sezaman Edisi Ke-29 (BMS29) telah melabuhkan tirainya dengan pengumuman pemenang pada 9 Mei 2026. Majlis penuh gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff bertempat di Balai Seni Negara Langkawi.
Tuah menyebelahi seniman muda, Norfatihah Yusof apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai lumayan bernilai RM40,000. Kemenangan tersebut diraih menerusi karya seninya yang bertajuk Unharvested Futures: Voices of The Field yang uniknya dipamerkan di kawasan sawah padi terletak di Pulau Tuba, Langkawi.

Norfatihah Yusof rangkul Anugerah Utama BMS29, bawa pulang RM40,000
Karya ini mencuri tumpuan panel juri kerana kekuatan ideanya yang memberikan impak menyeluruh kepada komuniti, selain pendekatannya yang begitu dekat dengan persekitaran tempatan, kehidupan, serta suara masyarakat.
Selain Anugerah Utama, pihak penganjur turut menyampaikan Anugerah Juri kepada empat penerima iaitu Aiman Yusri Mohamad Yusoff, Khairul Ehsani Sapari, Muhammad Ismail Rahim, serta gandingan Lim Xiao Mun dan Helmi Azam Tajul Urus. Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000 hasil daripada penerokaan karya dan pendekatan artistik yang diketengahkan. Sembilan lagi peserta telah diberikan Anugerah Harapan berserta hadiah iringan bernilai RM1,000 setiap seorang bagi menghargai potensi dan kualiti karya seni yang dipamerkan.
Penilaian karya bagi edisi kali ini diadili oleh barisan juri profesional dari dalam dan luar negara yang pakar dalam bidang kuratorial, iaitu Fram Kitagawa (Jepun), Dr. Agung Hujatnikajennong (Indonesia), serta Dr. Mohamad Faizuan bin Mat (UNIMAS, Malaysia).

Balai Seni Negara terus cungkil bakat baharu menerusi BMS29
Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, BMS29 membawakan kelainan yang cukup segar dengan mengangkat pendekatan “Lokasi Spesifik” menjadikan kepulauan Langkawi sebagai latar penceritaan dan pengkaryaan utama. Pendekatan ini memberi ruang kepada para peserta untuk menterjemahkan karya seni yang berakar umbi daripada sejarah, naratif masyarakat setempat, budaya, dan ekologi kawasan tersebut.
Sebanyak 16 buah karya daripada 21 penyertaan akhir telah berjaya dipamerkan di pelbagai lokasi strategik awam di sekitar Langkawi. Antara lokasi tumpuan pameran termasuklah Pasar Awam Kuah, Jeti Pulau Tuba, Bendang Padi Pulau Tuba, Hospital Lama Kuah, Dataran Lang, Taman Rekreasi Tasik Teluk Kedak, dan Jetty Point.
Karya-karya seni inovatif yang merangkumi media campuran, instalasi, digital, seni interaktif, dan persembahan ini membolehkan ruang awam dihidupkan sebagai satu medan apresiasi seni yang lebih inklusif bersama komuniti. Bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman menghayati karya-karya hebat penggiat seni tempatan ini, pameran BMS29 masih dibuka kepada orang ramai dan akan terus berlangsung sehingga 26 Julai 2026.
