‘Dia’ Bergema Lagi! 3,000 Peminat Bangkit Berdiri Raikan 4 Dekad Fauziah Latiff Di KLCC
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 May 2026 2:22 pm
KUALA LUMPUR – Empat dekad mewarnai persada muzik tanah air bukanlah satu tempoh yang singkat, namun aura dan bisa pesona vokalnya nyata belum memudar. Buktinya, kemunculan diva pop tersohor negara, Fauziah Latiff berjaya memukau lebih 3,000 peminat setia yang membanjiri Plenary Hall KLCC bersempena dengan konsert ‘4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert’ yang berlangsung dengan penuh gemilang malam tadi.
Membuktikan namanya masih utuh dan relevan di hati pencinta muzik tempatan, malam penuh bersejarah itu menjadi saksi kepada perjalanan seni Fauziah Latiff yang disulami dengan nostalgia manis.

Produksi bertaraf antarabangsa iringi konsert epik Fauziah Latiff di KLCC
Sepanjang persembahan yang berlangsung selama lebih dua jam itu, penyanyi yang mesra disapa Jee seakan-akan membawa penonton merentas terowong masa menyusuri magis karya-karyanya. Setiap segmen persembahan jelas disusun dengan teliti, menghadirkan momen yang meruntun emosi penonton.
Momen paling mencuri tumpuan pastinya apabila satu dewan secara spontan bangkit berdiri bersorak sebaik sahaja untaian hit malar segar seperti Dia, Setia Ku Di Sini, dan Teratai Layu Di Tasik Madu bergema.
Sorakan dan tepukan gemuruh yang tidak putus-putus membuktikan kelunakan vokal dan penghayatan mendalam Fauziah Latiff masih utuh pada kelasnya yang tersendiri, sekaligus menepis apa jua keraguan terhadap keampuhan vokalnya.

Diva bertemu Raja. Penampilan khas Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menyampaikan duet ‘Kehebatan Cinta’ menerima tepukan gemuruh penonton.
Melengkapkan statusnya sebagai primadona, Fauziah tampil cukup memukau dan elegan apabila menggayakan empat persalinan eksklusif hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail Kuala Lumpur. Kualiti konsert anjuran Ideatelier ini juga nyata berada pada tahap tertinggi dengan rekaan pentas moden yang serasi dengan pesona anggun beliau.
Pengalaman audiovisual pada malam itu turut dimaksimumkan menerusi iringan muzik mantap di bawah kelolaan Chaan bersama pemuzik profesional, paduan suara daripada Azrin Music Studio, serta gerak tari bertenaga oleh Onstageproduction. Pengendalian sistem audio dan pencahayaan yang cemerlang oleh Sound Innovations pula melengkapkan lagi kehebatan malam konsert bertaraf antarabangsa tersebut.

Konsert 4 Dekad Fauziah Latiff raih sambutan luar biasa, bukti pengaruh masih utuh
Kejayaan epik ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada barisan penaja utama, khususnya Tukang Jahit Termahir Malaysia (TJTM). Penganjuran ini turut diperkukuhkan dengan sinergi rakan radio rasmi Hot FM, Kool FM dan Molek FM. Turut memainkan peranan penting adalah Ticket2U selaku rakan tiket, Kueh (katering), Muasmo (gubahan bunga), serta Soora Miguhara yang menyediakan cenderahati istimewa buat para penonton.
Sesungguhnya, malam 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert itu bukan sekadar satu pentas hiburan, sebaliknya ia adalah sebuah keraian terhadap legasi muzik seorang legenda yang karyanya akan terus hidup dan segar merentasi pelbagai generasi. Memori luar biasa yang tercipta di Plenary Hall KLCC itu pastinya akan terus tersemat kemas dalam lipatan sejarah industri seni negara.
