JAPEN Perkasa Generasi Muda Menerusi Program SKILLBOX Berteraskan ADAB
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 May 2026 8:44 am
ALOR GAJAH: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus komited dalam usahanya memperkukuh jati diri dan kepimpinan generasi muda menerusi penganjuran Program SKILLBOX @Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung Tahun 2026.
Program yang menghimpunkan seramai 500 pelajar daripada Kelab Malaysiaku ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula 8 hingga 10 Mei bertempat di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka.
Membawa tema Aspirasi Diri Anak Bangsa (ADAB), inisiatif ini disasarkan untuk melahirkan generasi pelajar yang lebih berani dan bijak dalam mendepani cabaran masa kini melalui pendedahan kemahiran insaniah secara praktikal.

Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan rasmi penutupan SKILLBOX Zon Semenanjung di Melaka
Pelaksanaan program ini juga adalah sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI bagi membentuk modal insan holistik yang berakhlak mulia serta berdaya saing. Pengisian program sepanjang tiga hari tersebut tertumpu kepada tiga modul utama iaitu Komunikasi, Kepimpinan dan Jati Diri, serta Kenegaraan dan Patriotisme.
Bagi memberikan pengalaman berharga, penganjur telah membenarkan para pelajar mengendalikan sepenuhnya majlis perasmian penutupan program sebagai satu bentuk latihan praktikal dalam pengurusan majlis berpandukan modul yang telah dipelajari.
Selain itu, program ini turut menyediakan modul kemahiran digital yang relevan dengan keperluan semasa seperti bengkel Mobile Journalism (MOJO) dan Copywriting. Bagi memastikan pengisian modul lebih dekat dengan jiwa remaja, JAPEN menampilkan barisan pempengaruh terkenal tanah air.

Pempengaruh, Artis & Modul Kepimpinan Satukan 500 Pelajar Dalam SKILLBOX 2026
Antaranya ialah pempengaruh pendidikan dari MC+, Sir Badang dan Sir Fathi menerusi slot Road to Varsity, serta gandingan pempengaruh muda, Amin dan Abid dalam segmen Interaktif@Influencer yang mengetengahkan elemen inovasi berbekalkan tajaan kit STEM oleh Yayasan MR. D.I.Y. Elemen kenegaraan, kerohanian, dan hiburan bermaklumat turut diselitkan menerusi slot Bicara Dari Hati bersama Yayasan Nur Inspirasi serta persembahan artis budaya PENTARAMA JAPEN.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan yang turut meluangkan masa menyantuni para pelajar di kem berkenaan pada Ahad. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Hasiran Lemat dan Pengarah JAPEN Negeri Melaka, Mazli Hamdan.
Kejayaan program pendedahan kepimpinan ini turut mendapat sokongan tajaan daripada Nestle Malaysia Berhad dan Julie’s Manufacturing Sdn. Bhd.
