Hat-Trik Berbisa Dato A.Aida! Azeva Pukau Juri, Ungguli Konsert TTMM Minggu 4
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 May 2026 10:16 am
KUALA LUMPUR – Konsert minggu keempat program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim 2 nyata memberikan saingan yang cukup sengit, namun vokal padu peserta naungan Dato’ A.Aida iaitu Azeva berjaya memecah dominasi apabila merampas kedudukan pertama dengan kutipan markah cemerlang sebanyak 85.67 peratus.
Menyampaikan lagu hit malar segar nyanyian asal Dayang Nurfaizah, ‘Seandainya Masih Ada Cinta’, Azeva tampil memukau di atas pentas, sekali gus menewaskan lapan peserta lain yang turut berentap dalam konsert yang berlansung malam tadi di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam.

‘Seandainya Masih Ada Cinta’ jadi senjata rahsia Azeva untuk menang konsert TTMM minggu ke-4
Kejayaan Azeva itu secara tidak langsung membawa tuah yang berterusan buat pengurusnya. Dato’ A.Aida membuktikan ketajaman strateginya apabila melakar sejarah tersendiri selepas diumumkan sebagai ‘Manager Paling Perform’ bagi tiga minggu berturut-turut! Hat-trik ini nyata mengukuhkan lagi reputasi Dato’ A.Aida sebagai pengurus yang digeruni oleh barisan selebriti lain.
Bertemakan ‘Dan Lagu-lagu Di Radio’ hasil seleksi pilihan pasukan radio rasmi Era dan Sinar, persembahan Azeva berjaya menambat hati barisan juri yang diketuai oleh juri tetap, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Dato AC Mizal. Kemunculan vokalis hebat negara, Jaclyn Victor selaku juri jemputan pada minggu ini turut menambah debaran buat para peserta.
Mengikuti rapat di kedudukan kedua adalah Ammara di bawah pengurusan Pak Azad yang membawakan lagu mash up ‘Go’ dan ‘Kami Rappers Yo!’ dengan markah 79.00 peratus. Tempat ketiga pula menjadi milik Anggerek (diuruskan oleh Adira) yang berjaya mengumpul markah sebanyak 75.67 peratus menerusi lagu ‘Niskala Suaka’ (K.O.I).
Seterusnya, Hussain di bawah pengurusan Jamilulhayat selesa di kedudukan keempat (74.00 peratus), diikuti rapat oleh Cik B (Dato’ Sri Vida) di tempat kelima dengan 73.00 peratus, manakala Ratu (Linda Jasmine) berada di kedudukan keenam (71.67 peratus).

Langkah terhenti di minggu ke-4, perjalanan Fariedz Fazley berakhir di TTMM
Sementara itu, saingan di kedudukan Bottom 3 dilihat agak merisaukan. Fariedz Fazley di bawah pengurusan Dato’ Fazley yang cuba membawa kelainan dengan menyanyikan lagu mash up ‘Baby’ (Justin Bieber) dan ‘Kopi Dangdut’ (Fahmi Shahab) akur berada di kedudukan paling corot (tempat kesembilan) dengan markah hanya 69.67 peratus sekaligus menamatkan perjalanan mereka dalam pertandingan ini.
Turut berada di zon bahaya adalah Viviana di bawah pengurusan Ani Mayuni di kedudukan kelapan (71.00 peratus), dan Kim Khairri (Safura) di tempat ketujuh dengan markah 71.33 peratus.
Dengan persaingan yang semakin memuncak dan tekanan yang menebal pada setiap minggu, adakah Dato’ A.Aida mampu mengekalkan takhta dan momentum luar biasanya? Sama-sama kita nantikan kejutan di pentas TTMM minggu hadapan! Berikut senarai penuh markah peserta Talk To My Manager 2 Konsert Minggu Keempat:
- DATO’ A. AIDA & AZEVA — 85.67%
- PAK AZAD & AMARRA — 79.00%
- ADIRA & ANGGREK — 75.67%
- JAMILULHAYAT & HUSSAIN — 74.00%
- DATO’ SRI VIDA & CIK B — 73.00%
- LINDA JASMINE & RATU — 71.67%
- SAFURA & KIM KHAIRRI — 71.33%
- ANI MAIYUNI & VIVIANA — 71.00%
- DATO’ FAZLEY & FARIEDZ — 69.67%
