KUALA LUMPUR- Pentas akhir program realiti popular Kilauan Emas Selebriti 2026 yang berlangsung meriah pada malam tadi melakar satu lagi sejarah tersendiri apabila dua figura tersohor bergelar Datuk berjaya menguasai kedudukan teratas, sekali gus mengukuhkan kehebatan vokal dan aura seni mereka yang tidak pernah luntur. Menerusi Konsert Minggu 7 bertemakan “Selekoh Terakhir”, saingan sengit di antara barisan bintang veteran mencatatkan markah keseluruhan yang begitu kompetitif di bawah penilaian juri profesional yang dibarisi oleh Azmi Saat dan figura tersohor Datuk Ramli MS.

Foto Dari Kiri Zila Bakarin, Dato’ Jalaludin Hassan dan Dato’ A Tamimi Siregar
Aktor berwibawa, Dato’ Jalaludin Hassan, dinobatkan sebagai Juara rasmi selepas mencatatkan pungutan markah tertinggi sebanyak 69.08%. Beliau memukau penonton serta juri menerusi persembahan solo lagu malar segar My Way oleh Frank Sinatra serta kolaborasi duet mantap bersama Nadia Fharshah menerusi lagu Humko Humise Chura Lo.
Sementara itu, tempat kedua atau Naib Juara dirangkul oleh Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dengan pungutan markah 67.37%, menerusi penyampaian lagu Doa (Kumpulan Harmoni) serta duet memukau bersama Orked Farhan menerusi Ikatan Asmara. Tempat ketiga pula menjadi milik pelakon popular Zila Bakarin (62.71%) yang membawakan lagu Setelah Aku Kau Miliki (Shima) dan duet bertenaga bersama Naqiu menerusi Ombak Rindu. Menyusul di tempat keempat dan kelima masing-masing adalah Fazlina Ahmad Daud (57.66%) dan Amyza Aznan (57.61%), manakala Rahhim Omar melengkapkan senarai finalis di tempat keenam dengan pungutan markah 57.46%.

Kejayaan cemerlang para peserta pada malam kemuncak turut diraikan dengan limpahan habuan dan hadiah lumayan sumbangan penaja rasmi Astro, Rocketfuel Entertainment, serta Jus Arabic Gold. Juara, Dato’ Jalaludin Hassan, membawa pulang trofi, kontrak single eksklusif daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper bernilai RM800, pakej penginapan eksklusif 3 hari 2 malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang, serta sejambak bunga. Naib Juara, Dato’ A. Tamimi Siregar, menerima trofi, single daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper bernilai RM600, pakej penginapan 2 hari 1 malam di hotel yang sama, berserta sejambak bunga.
Tempat ketiga, Zila Bakarin, diberikan trofi, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper bernilai RM500, pakej penginapan 2 hari 1 malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang, dan sejambak bunga. Pemenang tempat keempat, Fazlina Ahmad Daud, memenangi trofi, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper bernilai RM350, pakej penginapan 2 hari 1 malam di hotel yang sama, bersama sejambak bunga. Sementara itu, peserta di tempat kelima dan keenam, iaitu Amyza Aznan dan Rahhim Omar, masing-masing membawa pulang trofi, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper bernilai RM350, serta sejambak bunga.

Malam kemuncak Kilauan Emas Selebriti 2026 turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada legenda tanah air Wan Hanafi Su dan Khir Rahman, membuktikan bahawa pentas seni tanah air terus subur merayakan bakat-bakat matang yang sentiasa dekat di hati penonton.

