KUALA LUMPUR – Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) terus komited dalam merapatkan jurang silaturahim antara penggiat seni tanah air dan para peminat menerusi penganjuran majlis “Hi Tea Karyawan” yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober 2026 di Level 1, Steg Hotel KL, bermula jam 12.00 tengah hari hingga 4.00 petang.

Foto kehadiran antara barisan artis yang akan membuat persembahan hadir ke sidang media di STEG Hotel KL baru-baru ini.
Acara santai yang mengetengahkan pelbagai program hiburan menarik ini bakal menampilkan barisan artis popular dan ikon seni terkemuka negara, antaranya termasuklah Rahmat Mega, Zur Eda, Helmi Gimmick, Datin Ramziela, dan Aishahanim.

Foto Dato’ Freddie Fernandez
Menurut Presiden Karyawan, Dato’ Freddie Fernandez, program ini bukan sahaja platform untuk peminat menjamu selera dan beramah mesra bersama artis kesayangan mereka, malah ia menjadi medan pertemuan bagi mengubat rindu peminat terhadap selebriti yang jarang tampil di pentas persembahan.
“Hi Tea ini bukan sekadar untuk makan-makan, tetapi lebih kepada platform interaksi mesra. Kami mahu memberikan peluang kepada peminat untuk mendekati dan mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat,” ujar Dato’ Freddie ketika mengulas mengenai penganjuran ini.

Foto Dato’ Khadijah Ibrahim
Sementara itu, representatif persatuan, Dato’ Khadijah Ibrahim, menceritakan bahawa pihak penganjur amat menitikberatkan kepuasan para tetamu dengan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu.
“Kami sangat berbesar hati untuk menganjurkan acara ini. Pihak penganjur sentiasa mengambil iktibar mengenai penganjuran sebelum ini dengan menambah baik dari semasa ke semasa, termasuk aspek sistem bunyi dan susun atur ruang acara,” jelas Dato’ Khadijah Ibrahim. Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Steg Hotel KL telah menyediakan lebih 60 jenis pilihan menu yang lazat dan menepati selera pengunjung sepanjang majlis berlangsung.
Beliau turut menambah bahawa penganjuran program ini akan diadakan secara bulanan bagi memastikan hubungan akrab antara artis dan peminat sentiasa terpelihara.
Perkembangan positif ini turut mendapat sokongan kuat daripada barisan penaja, hotel rakan strategik, serta rakan media yang terus mempercayai misi Karyawan. Pihak penganjur berharap kehadiran para peminat pada siri kali ini akan lebih meriah, sekali gus membolehkan pihak persatuan meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan demi kemaslahatan warga kerja seni.
Bagi yang ingin menempah tempat, tiket berharga RM85 seorang kini boleh didapati. Pihak penganjur mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan peminat seni untuk turut serta memeriahkan majlis berprestij ini.
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan tiket, sila hubungi talian +60122622020.

