Konsert

10,000 Suara Bergema! Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat Satukan Peminat Selepas Dua Dekad

Oleh

10,000 Suara Bergema! Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat Satukan Peminat Selepas Dua Dekad

KUALA LUMPUR – Suasana di Unifi Arena, Bukit Jalil, malam sabtu lalu bergegar dengan tenaga luar biasa apabila penyanyi serba boleh, Faizal Tahir, melakar satu lagi sejarah gemilang menerusi konsert berskala besar, Faizal Tahir: Suara Rakyat. Persembahan yang diadakan pada 3 Oktober 2026 ini berjaya menghimpunkan kira-kira 10,000 penonton yang membanjiri arena bagi meraikan perjalanan seni penyanyi kesayangan ramai itu.

Berdasarkan pandangan MYBUZZ, Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa. Ia adalah sebuah perayaan emosi, nostalgia, dan penyatuan pelbagai generasi yang diiringi dengan alunan hampir 30 buah lagu merentasi lebih dua dekad kerjaya seni Faizal.

Tirai konsert dibuka dengan penuh gah menerusi lagu berentak bertenaga, Batu & Golek, sebelum Faizal meneruskan momentum dengan membakar semangat penonton menerusi lagu ikonik Gemuruh. Sebaik saja bait-bait lagu Gemuruh kedengaran, seluruh arena bersatu bergema menyanyikan lagu tersebut bersama-sama, membuktikan betapa mendalamnya ikatan emosi antara karya Faizal dan para peminatnya.

Sepanjang malam itu, penonton dibawa meluncur melalui pelbagai fasa muzik Faizal Tahir. Antara lagu popular yang turut memukau penonton termasuklah Coba, Hanyut, Karma, Sejati, Kasih Tercipta, Sampai Syurga, dan Aku Berjanji. Susunan muzik baru yang disesuaikan khas untuk pentas arena memberikan nafas segar kepada karya-karya lama ini, menjadikannya satu pengalaman audio yang sangat mendalam.

Foto FT bersama Mirwana

Salah satu detik paling menyentuh hati buat peminat era awal kemunculan Faizal adalah segmen reunion bersama kumpulan nasyid terkenal, Mirwana. Kehadiran mereka di atas pentas untuk menyampaikan lagu Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu mengimbau kenangan manis zaman 2000-an, mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton.

Foto FT bersama Dato M Nasir

Namun, kemuncak kejutan malam tadi pastinya ketika figura legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, secara tiba-tiba muncul di pentas tanpa sebarang pengumuman awal. Kehadiran legenda itu disambut dengan jeritan keterujaan penonton sebelum kedua-dua bintang besar ini bergandingan menyampaikan lagu Campak Bintang. Kolaborasi silang generasi ini menjadi momen bersejarah yang mengangkat martabat seni tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Menjelang pertengahan konsert, suasana bertukar menjadi lebih patriotik menerusi segmen Negaraku / Malaysia yang memaparkan gabungan visual bertenaga serta laungan semangat kebangsaan daripada 10,000 penonton di dalam arena.

Konsert turut diselang-selikan dengan pelbagai segmen menarik termasuk Buka Panggung, Orang Kampung, dan Joget Mantul sebelum Faizal menutup tirai persembahan utama dengan lagu Mahakarya. Untuk segmen encore, Faizal memilih sebuah lagu berentak lebih intim dan santai, Bila Lagi Nak Jumpa, sebagai hadiah perpisahan buat peminat sebelum membuat final bow diiringi instrumental Gemuruh.

“Suara Rakyat bukan hanya tentang saya berdiri di atas pentas dan menyanyikan lagu-lagu saya. Lagu-lagu ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai orang, dan malam ini saya dapat mendengar 10,000 suara menyanyikannya kembali bersama saya,” luah Faizal penuh kesyukuran pada penghujung konsert.

Dengan sokongan penganjur Hitman Solutions serta Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures Group, Faizal Tahir: Suara Rakyat membuktikan bahawa legasi seni seorang Faizal Tahir terus kukuh merentasi zaman, disatukan oleh keringat, jiwa, dan cinta mendalam terhadap dunia muzik Malaysia.

, , , ,

Verified by MonsterInsights