JOHOR BAHRU — Bukan sekadar menyanyi, bergoyang dan mengimbau nostalgia. Wali Band Live in JB berubah menjadi sebuah malam yang sarat dengan emosi, doa, gurauan dan hubungan dekat antara artis dengan peminat apabila lebih 14,000 penonton membanjiri Educity Sports Complex, Johor Bahru.
Berlangsung hampir tiga jam, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu menyaksikan Wali tampil dalam persembahan bertenaga yang diselang-selikan dengan sisi santai dan religi.
Produksi yang kemas, sistem bunyi yang mantap serta tata cahaya yang kuat turut membantu menghidupkan keseluruhan pengalaman malam tersebut.

Suara masih ‘Macam Telan Kaset’, Najwa Latif curi Tumpuan di konsert Wali Band Live in JB.
Najwa Latif Buka Tirai Dengan Nostalgia
Sebelum Wali mengambil alih pentas, Najwa Latif terlebih dahulu membuka tirai dengan tujuh lagu popularnya.
Walaupun kini lebih memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pensyarah, suara Najwa ternyata masih mempunyai identiti tersendiri dan berjaya menghidupkan nostalgia penonton yang membesar dengan lagu-lagunya.
Najwa memulakan persembahan dengan AdaMu, disusuli Carta Hati, Satu Hari Nanti, Kosong dan Sahabat, sebelum suasana menjadi lebih intim menerusi Untuk Dia yang disampaikan tanpa iringan muzik. Segmennya kemudian ditutup dengan lagu yang cukup sinonim dengan namanya, Cinta Muka Buku.
Sambutan hangat penonton juga membuktikan bahawa aura Najwa masih kuat, malah ada peminat yang mahukan beliau kembali tampil dengan konsert solo sendiri.

‘Do You Love Wali?’ laungan Faank dibalas sorakan gemuruh 14,000 peminat setia.
Wali Terus ‘Hidupkan’ Johor Bahru
Kemunculan Wali Band yang dianggotai Faank, Apoy, Tomi dan Ovie terus disambut sorakan gemuruh. Mereka membuka persembahan dengan Cari Berkah sebelum meneruskan rentak rancak menerusi Si Udin Bertanya, Kekasih Halal dan Neneku Pahlawanku.
Momentum itu diteruskan dengan deretan lagu popular seperti Emang Dasar, Abatasa dan Ada Gajah Di Balik Batu, yang sekali lagi membuktikan lagu-lagu Wali masih cukup dekat di hati peminat Malaysia. Namun di sebalik kemeriahan itu, Wali turut membawa sisi yang lebih tenang.

Nostalgia, humor dan dakwah ringan warnai konsert Wali Band Live in JB.
Dari Konsert Ke Momen Muhasabah
Antara segmen paling berbeza malam itu hadir apabila Wali berhenti seketika untuk menitipkan doa dan harapan buat semua yang hadir.
Beberapa potongan ayat suci Al-Quran turut dibacakan, termasuk Surah Al-Fatihah, sekali gus memberi ruang kepada penonton untuk menikmati suasana yang lebih reflektif di tengah-tengah sebuah konsert muzik.
Doa turut disampaikan untuk pelbagai lapisan penonton — daripada pelajar, pekerja dan usahawan hinggalah mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan atau kehidupan. Wali mendoakan agar peminat diberikan rezeki, kesihatan, keberkatan dan keampunan. Di sinilah konsert itu terasa lebih daripada sekadar persembahan pentas.

Wali Band buktikan lagu-Lagu mereka masih dekat di hati peminat Malaysia.
“Kalian Adalah Harga Diri Wali”
Suasana berubah menjadi lebih intim apabila Wali membawakan beberapa lagu secara akustik. Doa Untukmu Sayang disambut penuh emosi sebelum Baik-Baik Sayang menyaksikan muzik dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada ribuan penonton menyanyi bersama.
Menerusi Harga Diriku, Faank pula menyampaikan satu ayat yang cukup dekat kepada peminat, “Kalian adalah harga diri Wali.”
Ayat ringkas itu mungkin kedengaran mudah, tetapi dalam konteks sebuah kumpulan yang masih terus disokong selepas bertahun-tahun dalam industri, ia terasa cukup bermakna.

Wali Band menyatukan ribuan hati dalam satu irama.
“Tobat Maksiat” Jadi Antara Segmen Paling Kuat
Salah satu persembahan yang paling mencuri perhatian malam itu ialah Tobat Maksiat.Di sebalik rentak yang rancak, lagu tersebut membawa mesej tentang muhasabah, taubat dan mengingati kematian.
Persembahan itu turut diperkukuh dengan permainan drum yang diselaraskan bersama pencahayaan pentas, menjadikannya antara segmen visual paling kuat pada malam berkenaan.
Najwa Muncul Semula, Kali Ini Bersama Wali
Satu lagi kejutan hadir apabila Najwa Latif muncul semula ketika Wali membawakan Yank. Kemunculan tersebut difahamkan berlaku secara spontan tanpa latihan terdahulu, namun gabungan vokal Najwa dan Faank ternyata serasi dan berjaya mencipta salah satu momen paling istimewa malam itu.
Selepas itu, Aku Bukan Bang Toyib kembali mencetuskan ledakan tenaga apabila penonton bangun, menari dan menyanyi bersama.
14,000 bergoyang bersama, Wali Band buat peminat berdiri hingga lagu terakhir ‘Cari Jodoh’.
“Cari Jodoh” Satukan 14,000 Suara
Sudah tentu, malam itu tidak lengkap tanpa lagu yang cukup sinonim dengan Wali — Cari Jodoh. Sebaik sahaja lagu berkenaan dimainkan, seluruh ruang konsert kembali bergema apabila ribuan peminat menyanyi bersama sehingga ke penghujung.
Dengan kira-kira 14,000 suara bergabung dalam satu lagu, Cari Jodoh menjadi penutup yang sempurna — bukan hanya kerana popularitinya, tetapi kerana ia berjaya menyatukan seluruh ruang Educity Sports Complex dalam satu momen yang terasa cukup besar dan emosional.
Malam itu membuktikan satu perkara: selepas bertahun-tahun berada dalam industri, Wali Band masih tahu bagaimana untuk membuat peminat ketawa, menyanyi, bermuhasabah dan pulang dengan hati yang penuh.

