Lokal

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

Oleh

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

KUALA LUMPUR – Lebih dua dekad berlalu, namun lagu-lagu yang pernah menjadi ‘soundtrack’ sebuah generasi ternyata masih mempunyai tempat tersendiri apabila OAG dan The Times berjaya menghimpunkan kira-kira 1,500 peminat menerusi konsert Disko Dansa Generasiku di ODEON KL, malam Sabtu lalu.

Konsert anjuran Rockstation & Event Entertainment itu bukan sahaja mencatat status sold out, malah menjadi pertemuan dua zaman penting muzik alternatif tempatan — era rock alternatif 1990-an yang dibawa OAG dan gelombang indie Melayu 2000-an menerusi The Times.

Malam penuh nostalgia itu disusun dalam tiga bahagian, memberi ruang kepada kedua-dua kumpulan mempersembahkan identiti masing-masing sebelum bergabung pada segmen kemuncak.

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

The Times membuka tirai dengan sembilan lagu termasuk Pesona Algebra, Khayal Khayalan, Infra Merah, Lalai, Wanita, Picagari, Telegram Buat Yoko, Separa Sedar dan Sisa-Sisa.

Sambutan penonton terhadap kumpulan yang ditubuhkan pada 2004 itu membuktikan katalog lama mereka masih kuat melekat dalam ingatan peminat, malah vokalisnya, Naza, mengakui tidak menyangka sambutan yang diterima begitu luar biasa.

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

Selepas itu, giliran OAG membawa penonton kembali ke era kegemilangan muzik alternatif tempatan dengan rangkaian 10 lagu termasuk SoulLaWatt, Horrible Adorable, Knocked Silly, Spastic Youth, Beautifool, Sericandy, Ztarlazt, PerMYsuri, Generasiku dan lagu ikonik 60’s TV.

Karakter bertenaga Radhi OAG kekal menjadi kekuatan utama persembahan, terutama apabila lagu-lagu yang sudah berusia puluhan tahun itu masih mampu dinyanyikan bersama oleh penonton yang memenuhi ruang ODEON.

Radhi, Naza Kembali Satu Pentas

Namun, detik yang paling mencuri perhatian hadir apabila OAG dan The Times akhirnya bergabung dalam satu persembahan bersama. Sebanyak 11 lagu dipersembahkan dalam segmen kolaborasi termasuk Gadisku Dalam Koma, Singapura KL, Tunjuk Perasaan, Nowwhy2, Slumber, Konspirasi Bising, Venusia, Biru, Akustatik, Don’t Look Back in Anger dan Senyuman Ragamu.

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

Pertemuan Radhi dan Naza membawa nilai sentimental tersendiri kerana sebelum menubuhkan The Times, Naza pernah menjadi sebahagian daripada OAG sebagai pemain gitar pada awal 2000-an dan terlibat dalam era album Satelit Ink sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 2004.

Malah, Naza kembali menggalas gitar bersama OAG pada malam tersebut menerusi beberapa lagu lama, sekali gus menjadikan segmen berkenaan antara momen yang paling dekat dengan peminat tegar kedua-dua kumpulan.

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

Radhi juga sempat mencuit hati penonton apabila secara berseloroh menegaskan hubungan mereka sebenarnya baik-baik sahaja, sekali gus menepis tanggapan mengenai perselisihan antara kedua-duanya.

Dia turut memberi bayangan kemungkinan sebuah reunion berkaitan era Satelit Ink pada masa depan sekiranya bekas gitaris OAG, Alim, turut bersama.

Gabungan dua kumpulan itu menghasilkan bunyi pentas yang lebih padat, dengan beberapa pemain dram, bass, gitar dan dua vokalis berkongsi ruang dalam sebuah persembahan yang jarang dapat disaksikan peminat.

Generasiku Belum Mati! OAG x The Times Satukan 1,500 Peminat Di ODEON

Lebih daripada sekadar nostalgia, sambutan 1,500 peminat dan tiket yang habis terjual memperlihatkan bahawa karya muzik tempatan yang mempunyai identiti kukuh masih mampu berdiri dan menarik khalayak biarpun tidak lagi bergantung kepada trend semasa.

Disko Dansa Generasiku akhirnya bukan sekadar pertemuan OAG dan The Times, tetapi sebuah malam yang mengingatkan bagaimana muzik boleh menjadi mesin masa — membawa kembali memori zaman sekolah, persahabatan, gig kecil dan satu era ketika muzik alternatif Malaysia berkembang dengan bahasa dan identitinya sendiri. Dan pada malam itu, 1,500 peminat di ODEON membuktikan generasi itu masih belum lupa.

, , , , ,

Verified by MonsterInsights