KUALA LUMPUR: Jika festival antarabangsa seperti Coachella terkenal kerana menggabungkan muzik, fesyen, budaya dan gaya hidup dalam satu pengalaman besar, NU FEST 2027 mahu membawa semangat serupa ke Malaysia — tetapi dengan identiti, cita rasa dan komuniti tempatan sebagai nadi utama.
Festival sulung anjuran COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni itu bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 30 Januari 2027, sekali gus memperkenalkan konsep “Music, Culture & Community” yang mahu menjadikan NU FEST lebih daripada sekadar konsert beramai-ramai.

Menurut penganjur, mereka mahu pengunjung menikmati pengalaman festival sejak mereka tiba — bermula daripada meneroka aktiviti kreatif, ruang niaga dan tarikan gaya hidup sebelum beralih ke pentas utama untuk menyaksikan persembahan artis.
“Kami tidak mahu NU FEST dilihat sebagai sebuah konsert yang mempunyai ramai artis sahaja. Sebaliknya, kami mahu pengunjung datang lebih awal, menikmati suasana festival, meneroka karnival dan aktiviti kreatif sebelum menyaksikan persembahan di pentas utama.
“Konsep kami sangat mudah iaitu ‘Music, Culture & Community’. Kami mahu NU FEST menjadi tempat golongan muda berkumpul, berseronok dan mencipta pengalaman bersama,” jelas En. Zairul Addry Helmy, wakil COMs. Creative Studio.
Inspirasi itu lahir daripada perkembangan festival muzik antarabangsa yang kini tidak lagi bergantung kepada persembahan pentas semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai sebahagian daripada budaya dan gaya hidup generasi muda.
Antara tarikan yang dirancang termasuk pentas utama, Rock Zone, Grandstand, kawasan makanan, karnival, pasar kreatif serta aktivasi jenama, sekali gus memberi ruang kepada pengunjung untuk menghabiskan masa lebih lama dalam ekosistem festival berkenaan.

Gabung Nama Lama, Bakat Baharu
NU FEST 2027 turut membawa pendekatan pelbagai genre menerusi barisan artis yang merentas generasi. Pengumuman Fasa 1 menampilkan The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio, selain kemunculan istimewa Band D_Va.
The Changcuters pula hadir dengan perjalanan muzik yang memasuki tahun ke-22, manakala Dukes dan Lokarya diketengahkan sebagai antara bakat baharu yang berpotensi mencuri perhatian. Kehadiran Band D_Va dijangka menghidupkan semula nostalgia era 2000-an.
Menurut Zairul Addry Helmy, pemilihan artis dibuat berdasarkan kepelbagaian muzik, kekuatan kelompok peminat serta tenaga persembahan, dengan matlamat mewujudkan sebuah festival yang boleh dinikmati oleh kelompok umur dan citarasa berbeza.
Nidji, Masdo Jadi Tarikan Fasa 2
Kemeriahan festival itu diperkukuhkan lagi dengan pengumuman Nidji dan Masdo menerusi Fasa 2.
Nidji dijadualkan membuat persembahan selama 90 minit, menjadikan kumpulan popular Indonesia itu antara tarikan utama acara, manakala Masdo pula membawa identiti retro kontemporari yang mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan generasi muda khususnya Gen Z.
Turut memeriahkan NU FEST ialah Beats & Brew, komuniti DJ tempatan yang bakal memberikan dimensi lebih dinamik kepada festival menerusi persembahan berteraskan budaya.
Malah, penganjur turut merancang beberapa elemen khas termasuk kemungkinan gandingan artis, susunan muzik istimewa serta persembahan eksklusif yang dicipta khusus untuk NU FEST.

Stadium Merdeka Jadi ‘Playground’ Generasi Baharu
Pemilihan Stadium Merdeka bukan sekadar kerana kapasiti atau nilai nostalgianya, tetapi turut memberi ruang kepada penganjur membentuk pengalaman festival yang lebih besar dari segi produksi, visual, pencahayaan, LED, sistem bunyi serta peralihan persembahan.
Dalam jangka panjang, NU FEST mahu berkembang sebagai festival tahunan yang bukan sahaja meraikan muzik, tetapi turut menyediakan platform kepada jenama tempatan, usahawan, pencipta kandungan, pengusaha makanan serta bakat muda.
Di sinilah NU FEST berpotensi membina identitinya sendiri — sebuah festival tempatan yang bukan hanya datang untuk menonton artis, tetapi menjadi tempat generasi baharu berkumpul, bergaya, meneroka budaya pop dan mencipta pengalaman bersama.

Tiket Bermula RM88
Bagi memberi akses lebih luas kepada peminat, harga tiket NU FEST 2027 bermula RM88, manakala tawaran khas turut disediakan bagi pembelian secara berkumpulan. Untuk Fasa 1, jualan tiket kategori Standing akan dibuka terlebih dahulu, sementara maklumat kategori Seating termasuk kawasan Grandstand akan diumumkan kemudian.
Dengan gabungan muzik, komuniti, makanan, kreativiti dan gaya hidup dalam satu lokasi, NU FEST 2027 mungkin menjadi langkah pertama ke arah lahirnya sebuah festival generasi baharu yang benar-benar mempunyai identiti Malaysia.


