Lokal

Bangkit Selepas 4 Tahun Menyepi, Mimi Fly Lempar Rasa Syukur Dominasi AIM25 Menerusi 5 Kemenangan

Oleh

Bangkit Selepas 4 Tahun Menyepi, Mimi Fly Lempar Rasa Syukur Dominasi AIM25 Menerusi 5 Kemenangan

Pentas Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) menyaksikan kemunculan semula yang luar biasa buat penyanyi dan komposer berbakat besar, Mimi Fly, apabila beliau merangkul kemenangan besar dengan membolot lima trofi sekaligus menerusi pencapaian cemerlang dalam lagu-lagu seperti Temberang, Nara, dan Serumpun.

Kejayaan manis ini merangkumi kategori Lagu Pop/Elektronik Dance Terbaik, Video Muzik Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Perayaan Terbaik, serta Anugerah Dalam Talian bagi Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok.

Kemenangan besar ini nyata membawa erti yang sangat mendalam buat Mimi Fly memandangkan beliau telah menyambut tahun ke-18 bergelar anak seni di dalam industri muzik tanah air. Berkongsi mengenai liku-liku kerjayanya, Mimifly meluahkan rasa kesyukuran selepas kembali aktif susulan fasa suram yang pernah dilaluinya.

“Perubahan yang sangat mendadak juga kalau tanya Mimi… Mimi tahun inilah tahun ke-18 dalam industri. Mimi buat comeback pada hujung tahun 2024 setelah empat tahun Mimi diam, tak berkarya langsung… Dan ini sangat-sangat miserable. Masa empat tahun itu, Mimi sangat-sangat… Mimi hilang diri bila Mimi tak berkarya,” ujarnya sewaktu berucap di atas pentas.

Bagaimanapun, fasa kelam tersebut bertukar menjadi lembaran baharu yang lebih cerah apabila beliau kembali menghasilkan karya seni menerusi lagu Angkat yang turut merangkul kemenangan pada AIM24, sebelum meneruskan momentum kecemerlangan di pentas AIM25 menerusi lagu Temberang. Menjelaskan perjalanan kerjayanya, beliau menambah,

“So, bila Mimi start balik dengan lagu ‘Angkat’ and ‘Angkat’ pun menang AIM24, dan sekarang Mimi menang untuk ‘Temberang’, Mimi just rasa berterima kasih… Mimi sangat berterima kasih kerana inilah jalan yang Mimi pilih, Mimi adalah seorang anak seni dan Mimi ingin teruskan lagi.”

 

Mimi turut membuat persembahan pembukaan di pentas AIM25 menerusi lagu Temberang

Dalam nada penuh sebak dan hargai, penyanyi bebas (independent artist) ini turut menzahirkan penghargaan buat pasukan kecilnya serta keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang tanpa sokongan label rakaman besar.

“Mimi sangat bersyukur dengan team yang percaya dekat Mimi… Seperti yang korang tahu, Mimi artis independen, Mimi bukan under label. Mimi adalah team Mimi sendiri… Mimi ada solid team dan Mimi ada family yang sangat-sangat supportive, mama yang tak henti-henti doakan Mimi, and sebab itulah Mimi pegang anugerah ni,” jelasnya menutup bicara kemenangan yang penuh bermakna itu.

 

, , , ,

Verified by MonsterInsights