Foto 15 Penerima Banglo Mewah di Tok Uban, Pasir Mas menerusi Sri Semantan Privilege Club (SSPC). Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Encik Mohamad Hafizal bin Hj. Mahmood, telah diadakan baru-baru ini.
PASIR MAS – Misi mengubah nasib hidup daripada bawah kini bukan lagi anustanta apabila 15 individu dari latar belakang biasa menerusi komuniti Sri Semantan Privilege Club (SSPC) berjaya memiliki rumah banglo mewah bernilai RM350,000 setiap satu.
Majlis perasmian pecah tanah dan simbolik penyerahan kunci bagi projek Perumahan Sri Semantan di Tok Uban, Pasir Mas itu disempurnakan dengan penuh meriah, disusuli gimik unik menggunakan jengkaut di tapak projek berkenaan.
Menurut Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Mohamad Hafizad Mahmood, kelompok penerima terbabit bukanlah terdiri daripada golongan elit atau berkedudukan tinggi. Sebaliknya, mereka adalah golongan marhaen yang gigih berusaha termasuklah peniaga produk langsung, penjaja kuih, serta ada juga yang berstatus sebagai penerima asnaf.
“Rumah ini adalah pencapaian yang tertinggi. Sebelum ini pun mereka telah melayakkan diri melancong ke umrah, menerima ganjaran jongkong emas seberat 100 gram hingga 200 gram, dan hari ini kemuncak nilainya adalah sebuah rumah banglo,” jelas Mohamad Hafizad ketika ditemui media.
Beliau menambah, inisiatif ini membuktikan keberkesanan program komuniti dalam membantu masyarakat mendaki taraf hidup melalui bimbingan ekonomi yang konsisten.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaani Jumaat menegaskan bahawa pemilihan penerima dibuat secara telus berdasarkan prestasi kerja berperingkat (step-by-step).
Sistem kenaikan pangkat itu bermula dari peringkat affiliate, naik ke pembantu pengurus (assistant manager), pengurus (manager), pengurus besar (master manager), sebelum mencapai tahap tertinggi yang digelar Freedom.
“Jadi tiada keraguan (no doubt). Selepas dia dapat status ‘Freedom’, tiada syarat kontrak yang mengikat seperti perlu kekal selama dua tahun atau sebagainya. Bermakna, pencapaian dan usaha mereka sendiri yang melayakkan mereka mendapat ganjaran ini,” ulas Shaani.
Bagi seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Seman, kejayaan ini didorong oleh pertumbuhan komuniti SSPC yang kini telah menaungi lebih 250,000 pelanggan berdaftar.
Jaringan ini dibentuk menerusi formula dan program dalaman khas yang mendidik ahli cara menjana pendapatan sampingan di samping memupuk budaya celik pelaburan emas.
Inisiatif pembinaan rumah mewah bernilai ratusan ribu ringgit ini dijangka akan diperluaskan lagi ke negeri-negeri lain seperti Pahang dan Johor pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai usahawan komuniti yang berjaya.

