KUCHING — Biarpun sering menjadi sebutan dan diletakkan di barisan hadapan industri muzik tanah air, Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempunyai sebarang niat untuk menarik diri daripada menyertai anugerah berprestij, Anugerah Industri Muzik (AIM).
Menurut penyanyi tersohor itu, pentas AIM merupakan medan pengiktirafan terbaik untuk para penggiat seni dan beliau berpendapat tiada alasan kukuh untuk dirinya mengundurkan diri daripada pencalonan.
“Anugerah AIM saya tak boleh mementingkan diri saya sebab ada orang lain yang perlu saya hargai, dan ini adalah pentas yang terbaik untuk mereka. Jadi, tak ada alasan untuk saya tarik diri,” jelas Siti Nurhaliza di sidang media AIM25.
Beliau yang turut merangkul pelbagai pencalonan dan kemenangan besar dalam AIM ke-25 (AIM25) menerusi karya-karya hebat seperti lagu Pesanan Buat Diri dan Kesuma turut menambah bahawa penyertaannya dalam industri adalah seiring dengan arus peredaran zaman.
lagu Seindah Biasa / Siti Situ Sana Sini /Kesuma pada malam kemuncak AIM25.
Siti Nurhaliza turut terbuka untuk terus bekerjasama dengan barisan pencipta lagu dan artis muda atau generasi Gen-Z. Baginya, kolaborasi rentas generasi ini bukan sahaja memberikan variasi kepada album-albumnya, malah menjadi platform penting untuk memberi ruang kepada bakat-bakat baharu meneruskan warisan seni tanah air.
“Kalau saya buat album, mungkin saya nak beri peluang kepada penaja dan anak muda. Kolaborasi saya dengan anak muda dan Gen-Z itu sebenarnya memberi saya banyak ilmu dan variasi kepada setiap album saya,” tambahnya lagi.
Ketegasan dan sikap rendah diri yang ditunjukkan oleh pelantun suara merdu ini membuktikan mengapa beliau terus kekal relevan dan dihormati di puncak empayar seni muzik Malaysia.

