Sukan

Black Vortex FC Cipta Sensasi, Ungguli ELBA Merdeka Cup 2026 B-14

Oleh

Black Vortex FC Cipta Sensasi, Ungguli ELBA Merdeka Cup 2026 B-14

KUALA LUMPUR – Black Vortex FC memberi amaran awal bahawa kelab itu kini semakin berbisa apabila cemerlang mengungguli kejohanan ELBA Merdeka Cup 2026 bagi kategori Bawah 14 Tahun (B-14) baru-baru ini.

Pada aksi final yang penuh debaran, kelab berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan itu mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan pasukan Akademi MBPJ FC A menerusi jaringan 1-0. Kekalahan tersebut menyaksikan pasukan lawan terpaksa berpuas hati bergelar naib juara.

Singkir Pasukan Indonesia & Inisiatif Ibu Bapa

Lebih membanggakan, kejayaan Black Vortex FC yang ditubuhkan pada tahun lalu hasil inisiatif ibu bapa para pemain ini turut diserikan dengan detik bersejarah apabila mereka berjaya menumbangkan pasukan dari Indonesia di peringkat suku akhir.

Kejayaan mendakap kejuaraan itu membolehkan mereka membawa pulang piala iringan berserta hadiah wang tunai RM1,000. Hadiah kemenangan tersebut telah disampaikan oleh bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Black Vortex FC Cipta Sensasi, Ungguli ELBA Merdeka Cup 2026 B-14

Aliza Zain (kiri) meraikan kejayaan Black Vortex FC yang turut diwakili anaknya sebagai penjaga gol.

 

Platform Pembangunan Akar Umbi

Wakil ibu bapa kelab tersebut, Aliza Zain, menyifatkan penganjuran kejohanan ini berjaya memastikan program pembangunan bola sepak akar umbi dapat dimulakan sejak usia awal lagi bagi menyediakan pelapis yang berpotensi besar.

“Ia bertepatan dengan matlamat penubuhan Black Vortex FC sebagai platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili negeri dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada waris dan ibu bapa yang menunjukkan komitmen tinggi dengan memastikan anak-anak berlatih bagi menghadapi persediaan kejohanan ini,” tambah Aliza.

Black Vortex FC Cipta Sensasi, Ungguli ELBA Merdeka Cup 2026 B-14

Black Vortex yang ditubuhkan tahun lalu hasil inisiatif ibu bapa para pemain dan berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

 

Semarak Bulan Kemerdekaan

ELBA Merdeka Cup 2026 kembali lagi pada tahun ini sebagai sebuah kejohanan bola sepak selama dua hari menerusi kerjasama dengan Kuala Lumpur Youth Football Club, yang sebelum ini dikenali sebagai NFDP Kuala Lumpur & Putrajaya.

Berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, kejohanan tersebut memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dengan penyertaan lebih daripada 80 pasukan yang terdiri daripada pelbagai pasukan sekolah dan kumpulan belia.

Mempertandingkan pelbagai kategori yang merangkumi B-10, B-12, B-14, dan B-16, saingan ini menyediakan platform terbaik buat pemain muda untuk menguji keupayaan atletik, memupuk semangat berpasukan, serta membentuk disiplin dan semangat kesukanan.

, , ,

Verified by MonsterInsights