RAWANG – Jenama minuman dan pencuci mulut terkemuka, MOMOYO, melebarkan penguasaan pasaran makanan dan minuman (F&B) tempatan menerusi pelancaran kedai mercu ‘flagship store’ yang bertemakan bakeri pertamanya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Pelancaran cawangan sulung berkonsepkan MOMOYO Bakehouse ini menandakan langkah permulaan bagi strategi peluasan agresif syarikat yang menyasarkan pembukaan sehingga 600 cawangan di seluruh negara.

(Kanan-kiri) Tan Meng Aik – Pengurus Kawasan Wilayah Utara MOMOYO; Lee Fu Yang – Pengedar MOMOYO Wilayah Utara; Tan Ming Dong – Pengarah Urusan MOMOYO Malaysia; JJ Ng – Pengarah GTM Global MOMOYO dan Hussain Bin Zakaria – Imam Surau As-Siddiqin Bandar Tasik Puteri, Rawang menyempurnakan majlis potong reben sempena pelancaran kedai mercu bakeri MOMOYO pertamanya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Gabungan Minuman & Bakeri Dalam Satu Bumbung
Cawangan berkonsep baharu ini menyajikan rangkaian minuman popular jenama itu seperti Fresh Fruit Tea, Milk Tea, siri aiskrim, kopi, dan Egg Waffle, bersama-sama variasi produk bakeri segar yang dibakar setiap hari.
Pengurus Besar MOMOYO Malaysia, Alex Tan berkata, pembukaan cawangan di Rawang bertujuan untuk memberikan fleksibiliti serta pilihan menu yang lebih pelbagai kepada pelanggan tempatan dan komuniti sekeliling.
“Bandar Tasik Puteri, Rawang merupakan satu langkah penting bagi kami kerana ini adalah flagship store pertama MOMOYO dengan konsep bakeri di Malaysia. Kami mahu memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dan menyediakan tempat untuk mereka menikmati minuman dan produk bakeri bersama keluarga serta rakan-rakan,” kata Alex Tan.

Sementara stok masih ada! Pelanggan berpeluang untuk mendapatkan harga istimewa serta beg ‘tote dengan rekaan eksklusif sepanjang tempoh promosi.
Bersempena pembukaan rasmi kedai mercu tersebut, MOMOYO turut mengadakan promosi istimewa selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September 2026 sebagai penghargaan kepada pelanggan yang hadir meraikan pelancaran cawangan sulung tersebut.
Sepanjang tempoh promosi, pelanggan berpeluang mendapatkan ‘Mystery Blind Bag’ bernilai RM40 pada harga istimewa RM30. Selain itu, pelanggan yang berbelanja sebanyak RM50 ke atas akan menerima sebuah beg ‘tote’ eksklusif MOMOYO secara percuma, dengan pilihan daripada empat rekaan eksklusif.
Inisiatif promosi ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha MOMOYO untuk menarik lebih ramai pengunjung ke cawangan baharunya di Rawang, di samping memperkenalkan konsep bakeri pertama jenama itu kepada pelanggan tempatan. Dengan gabungan tawaran istimewa, pilihan produk yang lebih pelbagai serta ruang yang lebih luas, MOMOYO berharap flagship store berkenaan dapat menjadi destinasi pilihan baharu bagi komuniti setempat.
Peluasan Agresif 600 Cawangan & Peluang Francais
Sejajar dengan sasaran mencapai 600 cawangan di seluruh Malaysia, MOMOYO turut membuka pintu perniagaannya kepada usahawan tempatan menerusi tawaran program francais. Syarikat itu komited menyediakan sistem sokongan komprehensif, merangkumi modul latihan operasi profesional, pengetahuan penyediaan produk, serta pelan pemasaran strategik bagi membantu rakan francais memulakan perniagaan dengan kos permulaan yang berpatutan.
KLIK! | MOMOYO Makin Laris, Pertaruh Model Francais Buka 500 Cawangan di Malaysia
Dari segi kebersihan dan pematuhan syariah, produk rangkaian MOMOYO telah pun memperoleh pensijilan Halal rasmi, manakala permohonan pensijilan Halal bagi segmen MOMOYO Bakehouse kini sedang aktif diproses bersama pihak berkuasa.

MOMOYO bina momentum pengembangan, gabungkan pastri dan bakeri segar serta minuman popular dalam satu destinasi.
Kembangkan Rangkaian Jenama Di Asia
MOMOYO, yang membawa maksud “More and More Young”, telah berkembang pesat sebagai antara jenama minuman dan pencuci mulut yang semakin mendapat perhatian di rantau Asia dengan jaringan melebihi 1,500 cawangan. Berteraskan falsafah “Real Food, Real Taste”, syarikat itu komited menawarkan produk berkualiti tinggi yang menampilkan rasa asli dan bahan-bahan segar kepada pengguna.
Seiring perkembangan jenama tersebut, MOMOYO terus memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh penawaran produknya, khususnya dalam segmen minuman berasaskan teh buah-buahan segar.
Usaha berterusan ini bertujuan memastikan setiap produk yang diperkenalkan memenuhi cita rasa pengguna moden, di samping mengekalkan standard kualiti serta inovasi yang menjadi tunjang pertumbuhan jenama berkenaan di pasaran Asia.

